DUNIA > BERITA

Zelensky Terima Anugerah Atas Penentangan Ukraine

15/02/2026 02:43 PM

MUNICH, 15 Feb (Bernama-dpa) -- Presiden Volodymyr Zelensky menerima Anugerah Ewald von Kleist 2026 bagi mewakili keberanian dan ketabahan seluruh rakyat Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Anugerah itu disampaikan kepadanya sempena Persidangan Keselamatan Munich, pada majlis resepsi yang diadakan pada Sabtu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Bavaria Markus Soder.

Ucapan penghargaan disampaikan oleh Perdana Menteri Poland Donald Tusk, yang menyatakan bahawa rakyat Ukraine wajar menerima penghormatan tertinggi daripada semua negara bebas di dunia. 

Zelensky mengucapkan terima kasih khas kepada pemimpin Eropah atas sokongan mereka, termasuk Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte.

Anugerah ini turut didedikasikan kepada ramai yang terkorban atau cedera dalam perang.

Ewald von Kleist mengasaskan Wehrkundetagung, pelopor kepada Persidangan Keselamatan, pada 1963.

Anugerah itu memberi penghormatan kepada individu atau institusi yang memberikan sumbangan cemerlang kepada penyelesaian konflik. 

Penerima sebelum ini termasuk bekas Setiausaha Negara AS Henry Kissinger, bekas Canselor Jerman Barat Helmut Schmidt, bekas Presiden Perancis Valery Giscard d’Estaing, bekas Senator AS John McCain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bekas Canselor Jerman Angela Merkel, serta negara Sweden dan Finland.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan