DUNIA > BERITA

PM Wong Seru Rakyat Singapura Kekalkan Keharmonian Sempena TBC-Ramadan

16/02/2026 06:08 PM

SINGAPURA, 16 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyeru seluruh rakyat Singapura supaya terus menjunjung nilai keharmonian sempena sambutan perayaan yang bakal menjelang.

Bercakap dalam perutusan video sempena Tahun Baharu Cina, Wong berkata sambutan tahun ini amat bermakna kepada negara itu memandangkan masyarakat Islam juga akan mula menyambut ketibaan Ramadan.

“Pertemuan dua sambutan ini mengingatkan kita akan keindahan masyarakat berbilang budaya di Singapura.

“Keharmonian ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya ia dibina merentas generasi menerusi rasa saling menghormati, kepercayaan dan persefahaman,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Isnin.

Tahun Baharu Cina bagi tahun ini jatuh pada 17 Feb, manakala umat Islam dijangka mula berpuasa pada 19 Feb ini.

Menurut Wong, kerajaan juga sedang berusaha memberi jaminan lebih besar kepada keluarga menerusi inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2026 yang menjadi keutamaan utama serta asas kepada masyarakat.

“Dalam belanjawan tahun ini, kami mengambil langkah lanjut, daripada baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat) untuk setiap isi rumah kepada kredit tambahan bagi setiap kanak-kanak serta lebih banyak sokongan persaraan bagi warga emas.

“Apabila kita menjaga keluarga, kita mengukuhkan ikatan yang menyatukan masyarakat. Kita juga perlu memperluaskan keprihatinan ini kepada komuniti kita,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan