PARIS, 23 Feb (Bernama-CMG) -- Paris International Agricultural Show (SIA) ke-62 membuka tirai secara rasmi di Pusat Pameran Porte de Versailles, di sini pada Sabtu lepas, dengan menyaksikan penyertaan sulung delegasi dari China.
Delegasi Pempamer Pertanian China dikendalikan oleh Pusat Promosi Perdagangan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China.
Majlis perasmian Pavilion China pada hari yang sama berlangsung dalam suasana meriah bersempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026. Persembahan tarian singa, peragaan busana serta hiasan kekampungan menampilkan wajah baharu dengan sentuhan moden dalam pertukangan tradisional desa China.
Seorang pegawai delegasi menyatakan bahawa China dan Perancis merupakan dua kuasa besar dalam bidang pertanian dan kulinari manakala kerjasama pertanian menjadi komponen penting dalam hubungan perdagangan kedua-dua negara.
Beliau berkata China akan memanfaatkan platform itu untuk terus meningkatkan interaksi dengan Perancis dalam sektor agromakanan dan kerjasama perdagangan, selain menggalakkan pertukaran produk agromakanan berkualiti tinggi yang disifatkan kondusif bagi memperincikan pelaksanaan projek kerjasama pertanian China-Perancis pada masa depan.
Sementara itu, wakil Agensi Produk Pertanian dan Makanan Nasional Perancis bagi pembiakan ternakan dan industri tenusu, Thomas Pavie, berkata China berada di barisan hadapan dalam bidang AgriRobot dan pertanian jitu.
Menurut beliau, kedua-dua pihak boleh meningkatkan kerjasama dalam aspek peningkatan kecekapan, menangani cabaran perubahan iklim serta memperkukuh keupayaan mitigasi bencana kemarau.
Delegasi China yang terdiri daripada pempamer dari provinsi Henan, Hunan, Guangdong dan Sichuan menampilkan lebih 100 produk berteknologi terkini termasuk teh, cendawan, kayu manis China, keladi, buah-buahan dan dron pertanian.
SIA yang mula dianjurkan pada 1964 merupakan antara pameran pertanian paling berprestij di dunia. Edisi 2026 akan berlangsung hingga 1 Mac ini dan dijangka menghimpunkan lebih 1,100 pempamer dari seluruh dunia.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial