DUNIA > BERITA

Ukraine Sedia Tamatkan Perang, Hanya Atas Dasar Keadilan, Undang-Undang Antarabangsa

24/02/2026 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Ukraine menegaskan semula bahawa ia bersedia menamatkan perang pada bila-bila masa, namun hanya berdasarkan keadilan, akauntabiliti dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, ketika negara itu memperingati empat tahun sejak pencerobohan ke atas Ukraine dalam satu acara solidariti yang diadakan di sini pada Selasa.

Berucap pada program Standing With Ukraine: Four Years of Resilience, Duta Besar Ukraine ke Malaysia Dr Hennadii Nadolenko berkata konflik itu kekal bersifat eksistensial bagi Ukraine, sambil menegaskan bahawa Kyiv tidak akan sesekali bersetuju menyerahkan mana-mana bahagian wilayahnya meskipun berdepan peningkatan korban dan pertempuran berpanjangan.

Nadolenko berkata pendirian Ukraine dalam rundingan adalah jelas, sambil menyatakan bahawa cadangan untuk menyerahkan wilayah, khususnya di rantau Donbas, tidak boleh diterima oleh kepimpinan dan rakyat Ukraine.

“Perang ini bukan sekadar mengenai tanah. Ia berkaitan keadilan, kedaulatan dan masa depan undang-undang antarabangsa. Jika pencerobohan diberi ganjaran, ia tidak akan terhenti di Ukraine,” katanya pada sidang media selepas acara itu, sambil menambah lebih 70 peratus rakyat Ukraine menentang penyerahan wilayah walaupun demi menjamin keamanan.

Beliau turut menekankan peningkatan keupayaan pertahanan kendiri Ukraine, dengan menyatakan pengeluaran domestik peluru dan dron meningkat lebih 10 kali ganda dan kini memenuhi lebih 60 peratus keperluan ketenteraan negara itu, walaupun sokongan antarabangsa berterusan masih amat penting.

Menjawab soalan mengenai gesaan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy agar Ukraine menyertai Kesatuan Eropah (EU) seawal 2027, Duta EU ke Malaysia Rafael Daerr berkata proses penyertaan Ukraine sedang dipercepatkan dari segi politik, namun negara itu masih perlu memenuhi pelbagai keperluan teknikal dan kawal selia yang luas.

Beliau berkata penyertaan ke dalam EU bukan sekadar kenyataan politik, memandangkan keanggotaan melibatkan penyertaan dalam pasaran tunggal serta pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian EU termasuk peraturan, keselamatan dan fitosanitari.

“Kami telah mempercepatkan proses ini dengan ketara dalam kes Ukraine kerana terdapat hasrat bersama untuk bergerak secepat mungkin, namun ia jauh lebih daripada sekadar kenyataan politik,” katanya.

Daerr menambah bahawa tiada sebarang perjanjian damai boleh dimeterai tanpa persetujuan Ukraine dan ia mesti bersifat boleh dipercayai serta mampan, sambil menegaskan bahawa EU dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) merupakan pakatan pertahanan dan setiap negara berhak memilih rakan kerjasamanya sendiri.

Duta Besar Jerman ke Malaysia Silke Riecken-Daerr berkata NATO dan EU berhati-hati agar tidak terlibat secara langsung sebagai pihak dalam konflik itu, namun terus menyokong negara yang mempertahankan kedaulatan mereka.

Beliau berkata EU dan negara anggotanya telah menyalurkan 200 bilion euro sebagai sokongan kepada Ukraine sejak 2022.

Acara itu dianjurkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia bersama Kedutaan Ukraine, Austria, Jerman dan Poland di Malaysia.

Satu pameran awam selama sebulan akan diadakan di Aras 3, GMBB Mall, Bukit Bintang, dari 27 Feb hingga 27 Mac, sebagai sebahagian daripada program berkenaan.

Pameran itu menampilkan Puzzle of Unity, peta interaktif yang memaparkan wilayah, budaya dan sejarah Ukraine yang disediakan oleh EU; Design in Wartime, projek budaya Austria-Ukraine oleh Kedutaan Austria; pameran mengenai armada bayangan Rusia oleh Kedutaan Jerman; serta The Eyes of War, projek dokumentari pelbagai siri oleh Kedutaan Poland.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan