DUNIA > BERITA

Indonesia Gesa EU Patuhi Keputusan WTO Bagi Pulihkan Akses Pasaran Minyak Sawit

25/02/2026 10:42 PM

JAKARTA, 25 Feb (Bernama) -- Indonesia menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya segera mematuhi keputusan panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tahun lepas berhubung pertikaian minyak sawit bagi memulihkan akses pasaran produk minyak sawit negara itu.

Menteri Perdagangan Budi Santoso berkata Selasa (24 Feb) menandakan berakhirnya tempoh pelaksanaan 12 bulan atau tempoh masa munasabah (RPT) yang diberikan kepada EU untuk menyesuaikan dasar dan peraturannya agar selaras dengan peruntukan WTO susulan keputusan panel berkenaan.

“Kami menggesa EU supaya segera mematuhi keputusan panel WTO agar akses pasaran produk minyak sawit Indonesia ke EU dapat dipulihkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Budi menjelaskan keputusan WTO pada 10 Jan 2025 mendapati dasar EU mendiskriminasi produk biofuel berasaskan minyak sawit Indonesia berbanding produk biofuel yang dihasilkan di EU dan negara lain, sekali gus memberikan kejelasan undang-undang bahawa dasar itu melanggar prinsip tanpa diskriminasi WTO.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat berkala Badan Penyelesaian Pertikaian WTO pada 27 Jan, EU melaporkan pelarasan dasarnya bagi mematuhi keputusan WTO masih belum dimuktamadkan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan Indonesia telah menyediakan pelbagai langkah susulan dan bersedia membuka dialog dengan EU bagi memastikan kesediaan dari aspek perundangan dan teknikal.

Budi berkata kerajaan akan terus memantau dan menilai langkah pelarasan EU, khususnya yang berkaitan dengan dasar Perubahan Guna Tanah Tidak Langsung (ILUC) di bawah Arahan (EU) 2018/2001 atau Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui II, bersama-sama dengan peraturan pelaksanaannya.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen Indonesia dalam melindungi kepentingan negara di samping mengekalkan akses pasaran yang mampan bagi produk minyak sawitnya ke EU.

“Indonesia menyokong agenda kelestarian global dan peralihan tenaga. Namun, dasar kelestarian tidak boleh digunakan sebagai asas untuk melaksanakan langkah yang bertentangan dengan prinsip asas tanpa diskriminasi dalam sistem perdagangan pelbagai hala,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan