DUNIA > BERITA

Bangladesh, Pakistan Bincang Perkukuh Hubungan Di Jeddah

27/02/2026 10:55 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 27 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Bangladesh dan Pakistan mengadakan perbincangan di Jeddah dalam usaha kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala susulan pembentukan kerajaan yang dipilih awal bulan ini di Dhaka.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar dan Menteri Luar Bangladesh, Khalilur Rahman bertemu di luar mesyuarat peringkat menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis yang diadakan bagi membincangkan tindakan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Mohammad Ishaq memaklumkan kepada Khalilur bahawa Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif berhasrat untuk melawat Bangladesh bagi menyampaikan ucapan tahniah secara peribadi kepada Perdana Menteri Tarique Rahman, menurut kenyataan media Kementerian Luar Bangladesh pada Jumaat.

Menteri Luar Pakistan itu turut menzahirkan harapan agar di bawah kerajaan baharu di Bangladesh, "hubungan antara kedua-dua negara akan terus berkembang pesat."

Bangladesh dan Pakistan menyaksikan peningkatan ketara dalam hubungan dua hala sejak penggulingan rejim Sheikh Hasina yang pro-India dalam kebangkitan rakyat pada 2024.

Mohammad Ishaq pernah melawat Bangladesh pada Ogos tahun lepas, yang merupakan lawatan dua hala pertama oleh seorang Menteri Luar Pakistan dalam tempoh hampir 13 tahun.

Kedua-dua negara kini telah memulihkan hubungan udara dan perkapalan secara terus bagi merancakkan sektor perdagangan serta pertukaran budaya.

Mohammad Ishaq dan Mohammad Ishaq mengadakan "perbincangan produktif mengenai peningkatan kerjasama dua hala merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, budaya, teknologi serta pertukaran antara rakyat," menurut hantaran Kementerian Luar Pakistan di laman X.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan