Oleh Massita Ahmad
ABU DHABI, 26 Feb (Bernama) -- "Saya sangkakan pasir yang dicurahkan oleh lori di kawasan pembinaan berdekatan dengan rumah kami..rupa-rupanya misil," kongsi seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Perasaan amat menggerunkan apabila mengetahui keadaan sebenar," menurut Nur Hamiza Ahmad, suri rumah tiga anak yang mengikut suami bertugas di negara itu sejak dua tahun lalu.
Diyakini misil itu disasarkan ke Pangkalan Udara Al Dhafra di selatan Abu Dhabi, yang menjadi hab kritikal Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), terletak kira-kira 50 kilometer (km) jaraknya dari kediaman beliau di Khalifa City.
"Amatlah ditakuti jika ia tersasar. Letupan amat kuat kedengaran sehingga menggegarkan rumah," kedengaran suaranya gementar.
Menurut beliau, kumpulan WhatsApp rakan-rakan senegara turut melahirkan rasa kegentaran dengan pengalaman yang terlalu asing buat mereka.
"Saya amat bimbang tidak dapat pulang berhari raya akibat konflik ini. Semoga peperangan berakhir segera dan ruang udara dibuka semula," katanya, yang tidak sempat pulang ketika kakak sulungnya meninggal dunia pada hari ketiga Ramadan baru-baru ini.
“Tiket pulang pun sudah dibeli… oleh-oleh pun sudah saya siapkan untuk adik-beradik,” tambahnya yang merancang untuk pulang ke Teluk Intan, Perak pada 16 Mac nanti.
Ketika temu bual dijalankan, masih kedengaran lintasan misil yang menggegarkan rumah.
"Tidak kurang dari 10 misil melintas di atas bumbung rumah kami," katanya.
Beliau turut berkongsi tangkap layar pesanan dari syarikat telekomunikasi agar berlindung di bangunan selamat dan menjauhi tingkap, pintu dan kawasan lapang.
Menurut beliau lagi, ada pasangan rakan-rakan yang mengambil peluang hari minggu keluar memancing di laut diminta pulang ke darat oleh pihak berkuasa Abu Dhabi.
"Buat masa ini kami hanya mampu berdoa agar kami selamat.. juga menunggu arahan Pihak Kedutaan dan memantau berita terkini dari masa ke semasa," katanya.
Tentera Iran memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan ke atas empat tapak ketenteraan AS di Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel di seluruh Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sasaran termasuk Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, Pangkalan Udara Al Salem di Kuwait, Pangkalan Udara Al Dhafra di UAE serta armada tentera laut AS di Bahrain, menurut Agensi Berita Fars Iran.
AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran pada Sabtu, termasuk di ibu negara Tehran, ketika ketegangan antara negara terbabit memuncak menjadi konflik terbuka.
Gelombang peluru berpandu turut dilancarkan oleh tentera Iran ke arah Israel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial