DUNIA > BERITA

UAE, Bahrain Dan Qatar Lapor Serangan Peluru Berpandu, UAE Tutup Sebahagian Ruang Udara

28/02/2026 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama-Agensi) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan ia menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik pada Sabtu, manakala Bahrain melaporkan serangan ke atas beberapa lokasi dalam sempadannya ketika kedua-dua negara mengaktifkan langkah tindak balas kecemasan susulan ketegangan serantau yang memuncak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Emirates (WAM), Kementerian Pertahanan UAE (MoD) memaklumkan negara itu menjadi sasaran serangan terang-terangan membabitkan peluru berpandu balistik Iran. Kementerian itu menambah sistem pertahanan udara UAE berjaya memintas beberapa peluru berpandu berkenaan dengan kecekapan tinggi.

Pihak berkuasa turut menguruskan kesan serpihan peluru berpandu di kawasan perumahan yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Kementerian itu mengesahkan seorang orang awam warganegara Asia maut akibat serpihan yang jatuh.

Menurut kementerian itu lagi, situasi keselamatan di UAE kekal stabil dengan semua agensi berkaitan memantau perkembangan sepanjang masa.

Kementerian Pertahanan UAE turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan dan menegaskan penolakan mutlak UAE terhadap sebarang sasaran ke atas objek awam, kemudahan serta institusi nasional. Ia menegaskan tindakan sedemikian merupakan peningkatan berbahaya dan perbuatan pengecut yang mengancam keselamatan orang awam serta menjejaskan kestabilan.

Kementerian seterusnya menyatakan bahawa serangan itu merupakan “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa”, sambil menegaskan UAE “mempunyai hak penuh untuk bertindak balas terhadap peningkatan ini dan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi wilayah, rakyat serta penduduknya dan mempertahankan kedaulatan, keselamatan serta kestabilannya”.

Ia juga menegaskan kesiapsiagaan penuh untuk menangani sebarang ancaman dan bahawa semua langkah perlu sedang diambil bagi mengekang cubaan menggugat keselamatan dan kestabilan negara, sambil menekankan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat kekal sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Kementerian itu menggesa orang ramai supaya merujuk kepada sumber rasmi dan tidak menyebarkan khabar angin atau laporan yang tidak disahkan.

Secara berasingan, Kementerian Dalam Negeri UAE memaklumkan pihaknya memantau rapat perkembangan serantau dan berada pada tahap berjaga-jaga yang tinggi serta menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga mengikut keperluan.

Kementerian itu menegaskan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat kekal sebagai keutamaan utama, selain komitmen untuk mengekalkan keselamatan awam dan kestabilan, serta mengesahkan orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan dan langkah yang diperlukan tepat pada masanya.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am (GCAA) mengumumkan penutupan sementara dan sebahagian ruang udara UAE sebagai langkah berjaga-jaga luar biasa bagi memastikan keselamatan penerbangan dan anak kapal susulan perkembangan keselamatan yang meningkat dengan pantas di rantau itu.

Pihak berkuasa itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap risiko keselamatan dan operasi serta dengan penyelarasan pihak berkuasa nasional dan antarabangsa berkaitan, sambil menegaskan keselamatan ruang udara dan kedaulatan udara UAE kekal sebagai keutamaan mutlak.

GCAA memaklumkan pihaknya akan terus memaklumkan pihak berkuasa dan orang ramai mengenai sebarang perkembangan serta menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan kemas kini terkini jadual penerbangan, dengan syarikat penerbangan akan menyediakan penginapan dan bantuan yang diperlukan kepada penumpang terjejas.

Di Manama, Agensi Berita Bahrain (BNA) melaporkan Pusat Komunikasi Nasional mengumumkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pusat perkhidmatan yang berkaitan dengan Armada Kelima AS.

Orang ramai digesa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa rasmi berkaitan dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sahaja, menurut BNA.

Di Doha, Kementerian Pertahanan Qatar mengesahkan pihaknya berjaya memintas gelombang kedua serangan yang menyasarkan beberapa kawasan di seluruh negara itu.

Dalam kenyataan media yang disiarkan oleh Agensi Berita Qatar, kementerian itu mengesahkan ancaman berkenaan ditangani sebaik dikesan mengikut pelan keselamatan yang telah ditetapkan dan semua peluru berpandu dipintas sebelum memasuki wilayah negara.

Kementerian itu menegaskan Angkatan Bersenjata Qatar berkemampuan sepenuhnya mempertahankan keselamatan negara dan bertindak balas tegas terhadap sebarang ancaman luar, sambil menambah bahawa situasi keselamatan kekal stabil dan terkawal.

Ia memberi jaminan kepada rakyat, penduduk dan pelawat serta menggesa semua pihak supaya bertenang, mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan, mengelakkan khabar angin dan hanya merujuk kepada kenyataan serta maklumat rasmi.

-- BERNAMA-AGENSI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan