DUNIA > BERITA

Iran Tegaskan Perang Hanya Tamat Jika Serangan As-Israel Dihentikan

03/03/2026 09:39 PM

TEHRAN, 3 Mac (Bernama-Anadolu) -- Iran menyatakan pada Selasa bahawa peperangan yang sedang berlaku antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel hanya akan berakhir "apabila serangan ke atasnya dihentikan," lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada pemberita di sebuah sekolah rendah yang terkena serangan AS-Israel di Tehran, jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei berkata peperangan itu "bukan dimulakan oleh Iran, memandangkan pilihan utama negara ini adalah diplomasi."

AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu lepas yang mengorbankan hampir 800 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai tinggi tentera, mengikut perangkaan Iran.

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas AS dan Iran mengadakan rundingan nuklear tidak langsung pusingan ketiga di bawah pengantaraan Oman.

Baghaei berkata ramai pihak di Iran menentang rundingan dengan AS, mengambil iktibar daripada pengalaman apabila Israel dan AS menyerang negara itu pada Jun tahun lepas.

Jurucakap itu turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa untuk campur tangan "sebelum peperangan ini merebak ke tempat lain."

Iran telah "berikrar untuk berjuang dengan segala kekuatan dalam pertempuran ini," katanya sambil menambah bahawa tumpuan utama kini adalah untuk mempertahankan negara daripada serangan.

"Kami telah menerima banyak mesej yang bercanggah dan mengelirukan sepanjang satu setengah tahun yang lepas. Sekarang adalah masa untuk berperang dan mempertahankan tanah air. Apa sahaja yang mengalihkan perhatian kami mesti diketepikan," tegas beliau.

Baghaei berkata menarik perhatian bahawa Iran telah berulang kali memberi amaran tentang "sikap tidak bertindak dan acuh tak acuh" komuniti antarabangsa terhadap pencabulan undang-undang.

"Dunia melihat genosid berlaku tetapi tidak mengambil sebarang tindakan; ia menyaksikan pencerobohan terhadap negara jiran tetapi tidak bertindak balas.

Kami telah berulang kali bersuara dan memberi amaran bahawa jika dunia - terutamanya negara-negara yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  - tidak bertindak, api ketidakadilan dan pemberontakan ini akan melanda semua negara," katanya.

Setakat ini, Iran telah melancarkan 15 gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta aset AS di rantau berkenaan, termasuk di Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu,  Jordan, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi. Kebanyakan negara terbabit mengutuk serangan Iran itu sebagai tindakan yang tidak wajar.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan