DUNIA > BERITA

Konflik Timur Tengah: Kerajaan Komited Bawa Pulang Rakyat Malaysia Terkandas Secara Berperingkat

06/03/2026 06:35 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan komited untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di Timur Tengah namun ia bergantung kepada keadaan ruang udara dan jadual penerbangan yang tersedia.

Ketua Protokol di Kementerian Luar Ikram Mohd Ibrahim berkata pihaknya ketika ini sedang melaksanakan operasi membawa mereka pulang secara berperingkat, namun tempoh pelaksanaannya sukar ditetapkan dengan tepat berikutan pelbagai faktor di luar kawalan.

“Segalanya sekarang berdasarkan kepada sejauh mana laluan udara dibuka mengikut jadual kita. Bukan kita tidak ada kapal terbang, penerbangan memang ada, tetapi jumlah penumpang yang boleh dibawa keluar agak terhad dan itu yang menjadi cerutan kita ketika ini,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.

Ikram berkata kerajaan akan meneliti semua pilihan yang ada, untuk membantu rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air. 

“Kita faham keluarga mereka rasa sangat risau dan cemas. Ramai yang tidak dapat tidur malam menunggu berita mengenai ahli keluarga mereka,” katanya.

Sejumlah 2,289 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas berikutan pembatalan penerbangan yang meluas dan sekatan ruang udara akibat konflik. 

Ikram berkata pengembara yang terkandas termasuk 1,670 di Arab Saudi, 464 di Emiriah Arab Bersatu (Dubai dan Abu Dhabi) dan 96 di Qatar.

Selain itu, beliau berkata kira-kira 31,952 rakyat Malaysia kini menetap di lokasi berkenaan, dan 21,169 daripada mereka telah berdaftar dengan perwakilan diplomatik Malaysia.

“Berdasarkan laporan terkini diterima daripada perwakilan diplomatik Malaysia, semua rakyat Malaysia yang dihubungi berada dalam keadaan selamat, dengan tiada laporan mereka yang maut atau cedera melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.   

Sementara itu, Ikram berkata pergerakan membawa mereka pulang dilakukan secara berperingkat berdasarkan maklumat yang disediakan menerusi sistem pendaftaran e-Konsular.

Beliau berkata rakyat Malaysia di negara yang terkesan amat digesa supaya mendaftar diri mereka dengan segera  dan mengemas kini butir maklumat mereka untuk dihubungi menerusi portal e-Konsular atau perwakilan diplomatik Malaysia terdekat.

Pergerakan membawa mereka pulang diselaraskan berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar. Ini membolehkan perwakilan Malaysia untuk mengenal pasti lokasi rakyat Malaysia, menentukan siapa yang ingin pulang ke tanah air, mengutamakan individu rentan dan melaksanakan pergerakan membawa mereka pulang secara berperingkat.

Perwakilan diplomatik Malaysia berhubung secara langsung dengan warga Malaysia berdaftar bagi memastikan keselamatan mereka dan menentukan sama ada mereka memerlukan bantuan untuk dibawa pulang.

Pada masa sama, Bilik Operasi 24-jam masih aktif di Putrajaya dan perwakilan utama Malaysia bagi menyelaraskan logistik untuk membawa mereka pulang. 

Bilik operasi ini menguruskan penyelarasan penerbangan, dokumen perjalanan, merentas daratan jika perlu dan bantuan kebajikan kepada warga Malaysia yang sedang menunggu untuk berlepas. 

Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Sabtu (28 Feb) mula menyerang beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk di ibu negara Tehran.

Sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel itu, tentera Iran melancarkan serangan ke atas empat pangkalan tentera AS di Qatar, Bahrain, Kuwait, dan UAE.

-- BERNAMA   

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan