DUNIA > BERITA

Penerbit China Bawa 4,000 Jenis Buku Ke Pameran Buku London 2026

12/03/2026 03:17 PM

LONDON, 12 Mac (Bernama-CMG) -- Pameran Buku London 2026 membuka tirai di Pusat Pameran Olympia London di sini pada Selasa lepas, menarik penyertaan hampir 1,000 pempamer dan lebih 30,000 tokoh profesional dari lebih 90 negara dan wilayah. 

Delegasi Penerbit China yang menampilkan tema “Reading China” membawa lebih 4,000 jenis buku ke pameran selama tiga hari itu, selain menganjurkan lebih 40 acara yang berkaitan dengan pelancaran buku baharu dan kerjasama hak cipta.

Pavilion China pada edisi kali ini yang terdiri daripada lima zon, termasuk zon buku bertemakan China dan zon buku premium, bukan sahaja mempamerkan pencapaian industri penerbitan serta karya sastera dan budaya tradisional, malah turut mengetengahkan pengalaman digital dan pembangunan ekonomi kreatif berasaskan hak intelek tempatan.

Pada hari pertama pameran, satu seminar bertemakan "China dan Dunia pada Era Baharu" serta majlis pelancaran buku baharu turut diadakan. Beberapa buku dalam pelbagai bahasa juga dilancarkan, termasuk "Analisis China dari Perspektif Ekonomi dan Inisiatif Pembangunan Global" dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Pengurus Besar China Publishing Group Corporation, Zhang Hong berkata buku-buku yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa dan diedarkan secara global itu membolehkan pembaca antarabangsa memahami keadaan sebenar di China serta mengenali peluang pembangunan yang dibawa negara itu kepada dunia.

Beliau menambah inisiatif itu juga menunjukkan keikhlasan China untuk bersama-sama komuniti global dalam melakar kemajuan masa hadapan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan