DUNIA > BERITA

Nasi Kandar, Teh Tarik Jadi Pilihan Di Meja Iftar Jakarta

14/03/2026 03:11 PM

JAKARTA, 14 Mac (Bernama) -- Apabila senja menjelang sepanjang Ramadan di pinggir bandar timur Jakarta, Cibubur, aroma kari dan roti canai yang baru dimasak memenuhi ruang udara, menarik perhatian pelanggan yang tidak sabar untuk berbuka puasa.

Ketika azan hampir berkumandang, pinggan berisi roti canai, mangkuk kari dan gelas teh tarik yang berbuih mula dihidangkan di atas meja, mewujudkan sajian iftar yang terasa akrab namun unik – dengan cita rasa yang lebih kerap dikaitkan dengan gerai mamak yang sibuk di Kuala Lumpur.

Kini, hidangan gaya Malaysia itu semakin menarik minat pelanggan di Jakarta pada Ramadan ini, dengan meja makan pada waktu berbuka cepat dipenuhi manakala tempahan katering habis ditempah.

Permintaan amat tinggi pada tahun ini apabila perkhidmatan katering ditempah sepanjang Ramadan untuk majlis iftar yang dianjurkan oleh syarikat multinasional, agensi kerajaan Malaysia dan Indonesia, syarikat minyak dan gas nasional Malaysia Petronas serta beberapa kedutaan di Jakarta termasuk Brunei, Singapura, Timor-Leste dan Malaysia.

Bagi pemilik restoran dan cef Zirazul Zohodi, 40, minat yang semakin meningkat itu mencerminkan lebih daripada sekadar rasa ingin tahu terhadap masakan Malaysia.

Zirazul, yang juga dikenali sebagai Pak Dodi, telah berkecimpung dalam industri kulinari sejak berusia 18 tahun. Beliau menjalani latihan di Highland Hotels di Genting Highlands, berkhidmat selama lima tahun sebagai cef hotel dan kemudian bertugas sebagai pengurus operasi makanan dan minuman di beberapa hotel empat dan lima bintang di Kuala Lumpur.

Selepas berpindah ke Jakarta bersama isterinya yang merupakan warga Indonesia sekitar 2016, beliau membuka sebuah restoran kecil di Cibubur bernama Ashraf’s Corner by Maliq, sempena nama anak lelakinya, yang menyajikan hidangan gaya mamak Malaysia kepada pelanggan tempatan.

Selain hidangan utama seperti roti canai, nasi kandar dan mee goreng mamak, restoran itu turut menyajikan hidangan kegemaran seperti nasi lemak, nasi hujan panas dan laksa, bersama beberapa hidangan Indonesia.

“Pada mulanya, saya dan isteri berfikir terdapat banyak makanan Indonesia di Malaysia. Namun, makanan Malaysia tidak begitu biasa di sini, jadi kami mahu memperkenalkan hidangan Malaysia kepada rakyat Indonesia.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat baik dan orang ramai memberi sokongan yang amat menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perniagaan katering restoran itu mula berkembang selepas membekalkan makanan semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kedutaan Malaysia di Indonesia pada 2022, yang kemudian membawa kepada permintaan katering selanjutnya daripada institusi serta misi diplomatik.

Bagi sesetengah pelanggan, hidangan itu menggamit kenangan terhadap cita rasa masakan mamak Malaysia yang biasa dinikmati.

Seorang penduduk tempatan, Taufik Ramadan, yang tinggal berhampiran berkata beliau telah lama mendengar mengenai restoran itu dan memutuskan untuk mengunjunginya buat kali pertama.

“Saya mempunyai rakan niaga di Kuala Lumpur, jadi setiap bulan biasanya saya akan ke sana dan sentiasa makan makanan mamak. Malah minggu depan saya akan ke sana lagi, tetapi selepas makan di sini, mungkin lain kali saya datang ke sini sahaja.

“Sangat sedap, rasanya sama seperti masakan mamak di sana, memang lazat,” katanya.

Ketika rakyat Indonesia dan Malaysia terus berinteraksi melalui pekerjaan, pelancongan dan hubungan kekeluargaan, hidangan seperti roti canai dan nasi kandar secara tidak langsung merapatkan hubungan antara dua negara jiran itu – bukti bahawa kadangkala hubungan paling sederhana antara negara bermula dari meja makan

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan