BANGKOK, 10 April (Bernama) -- Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut Thailand Khon Kaen selepas kira-kira 97 kilogram (kg) methamphetamine jenis kristal dirampas dalam satu operasi bersama di dalam kereta api menuju ke Bangkok, menurut polis pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Pusat (CIB) memaklumkan suspek ditahan selepas pegawai menemui tiga beg pakaian tidak dituntut mengandungi dadah dalam tren yang bergerak dari Nong Khai ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat di Bangkok.
CIB berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Kereta Api Negara Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Bahagian Polis Lebuhraya sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan penumpang serta membanteras jenayah dalam perkhidmatan rel.
“Pegawai rondaan pada 8 April mengesan tiga beg besar berwarna hitam berkunci secara kombinasi diletakkan di rak bagasi dalam sebuah gerabak ketika melalui wilayah Khon Kaen.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada penumpang mengaku memiliki beg itu, sekali gus mendorong siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
CIB memaklumkan kakitangan kereta api kemudian mengesahkan tiga lelaki membawa beg itu menaiki tren di stesen Nong Khai, manakala rakaman CCTV mengenal pasti suspek yang kemudiannya ditemui duduk dalam gerabak sama.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu mengaku membawa bagasi berkenaan namun mendakwa tidak mengetahui kandungannya, sebaliknya diarahkan oleh pihak lain untuk menghantar beg itu ke Bangkok.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Phon di Khon Kaen untuk tindakan lanjut,” menurut CIB.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial