DUNIA > BERITA

Korea Selatan, China Tegaskan Keperluan Pastikan Rantaian Bekalan Mineral Kritikal, Nadir Bumi Kekal Stabil

21/04/2026 03:04 PM

SEOUL, 21 April (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan dan China mengesahkan semula keperluan untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan mineral kritikal, nadir bumi dan bahan lain kekal stabil dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, menurut kementerian luar pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kedua-dua pihak berkongsi pendirian itu semasa Suruhanjaya Ekonomi Bersama, iaitu dialog ekonomi dua hala peringkat tinggi yang dipengerusikan Naib Menteri Luar Kedua Kim Jina dan Naib Menteri Perdagangan China Yan Dong di Beijing pada Isnin.

Memandangkan kedua-dua negara bersetuju memulihkan perkongsian strategik dan memperkukuh kerjasama ekonomi, mereka turut berikrar untuk menggandakan usaha bagi meneruskan kerjasama mesra “secara saling menguntungkan”, menurut kementerian itu.

“Khususnya, mereka mengesahkan semula keperluan untuk menguru rantaian bekalansecara stabil bagi mineral kritikal, nadir bumi, urea dan bahan lain, serta bersetuju untuk berhubung rapat menerusi saluran dialog sedia ada,” menurut kementerian itu.

Mereka juga bersetuju untuk bekerjasama bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin memuncak, termasuk dengan memajukan rundingan perdagangan bebas dalam sektor perkhidmatan dan pelaburan, bagi menghasilkan manfaat nyata kepada perniagaan di kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan mengenai keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal.

Ditubuhkan pada 1992, suruhanjaya bersama itu berperanan sebagai saluran dialog dua hala antara Seoul dan Beijing bagi membincangkan pelbagai isu ekonomi yang menjadi kepentingan bersama serta usaha menggalakkan kerjasama ekonomi.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan