ISTANBUL, 2 Mei (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot mengulangi pendirian berterusan Perancis yang enggan terlibat dalam perang diterajui Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, pada Jumaat lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
"Perancis tidak menyertai peperangan ini sejak awal krisis. Kami telah menyatakan: oleh kerana objektif tidak ditakrifkan dengan jelas dan operasi dijalankan di luar rangka kerja undang-undang antarabangsa, adalah mustahil bagi Perancis untuk mengambil bahagian," kata Barrot kepada penyiar BFM TV.
Beliau menegaskan perlunya untuk menghalang permusuhan daripada berulang dalam rangka kerja rundingan yang sedang dijalankan.
"Seperti yang telah dilihat oleh semua orang sejak bermulanya perang ini, yang kami tidak sokong dan kami tidak sertai, risiko ketegangan adalah sangat tinggi. Ia membawa kesan besar kepada ekonomi global dan seterusnya kepada kehidupan harian kita," kata Barrot.
Beliau menekankan bahawa Selat Hormuz mesti dibuka semula, sambil memaklumkan bahawa mereka sedang menyediakan misi antarabangsa bagi mewujudkan syarat yang diperlukan untuk memulihkan trafik di laluan itu.
"Tidak boleh ada sekatan, tiada ugutan, mahupun sebarang bayaran tol di mana-mana selat sekalipun. Perairan antarabangsa tidak boleh dihalang dalam apa jua cara atau oleh sesiapa pun," kata Barrot.
AS dan Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran terhadap sekutu AS di Teluk, serta menyekat laluan air utama yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dan gas dunia.
Peperangan itu kini ditangguhkan, dan usaha untuk menamatkannya secara kekal masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial