EKONOMI > BERITA

COMBAT BAZE LABUR RM80 JUTA BANGUNKAN HAB SUKAN DAN HIBURAN

24/04/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Combat Baze melabur RM80 juta untuk membangunkan hab sukan dan hiburan canggih -- sebuah projek yang dirancang untuk melonjakkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama -- di KL Base.

Pengarah Urusan Datuk Patrick Ong berkata hab yang dikenali sebagai Combat Baze itu akan dilengkapkan dengan lapang sasar dalaman, kelab menembak Combat dan medan cabaran Combat.

Hab itu juga akan mengetengahkan medan tempur senapang cat, trek ATV (kenderaan serba rupa bumi), pengalaman e-kart, ruang istirahat eksklusif, tawaran makanan dan minuman, serta kemudahan mewah lain, katanya kepada Bernama pada majlis pecah tanah dan pelancaran awal projek itu di sini, pada Selasa.

Pada masa sama, penambahan Hab Web3 dalam premis akan menyediakan ruang untuk peminat, artis, peminat teknologi dan usahawan NFT (token tidak sepiawai) berkumpul, berkongsi idea dan meneroka inovasi digital.

Beliau berkata tarikan itu menjanjikan pengalaman menarik dan mendebarkan yang disesuaikan bukan sahaja untuk penggemar hiburan bertemakan pertempuran malah juga kepada individu, keluarga dan pelancong yang mencari pengembaraan luar biasa di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Hab sukan dan hiburan itu akan dibangunkan di KL Base -- sebelum ini dikenali sebagai pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi -- sebahagian daripada pelaburan keseluruhan itu meliputi pajakan tanah daripada Bandar Malaysia Sdn Bhd, dengan perancangan sedang dijalankan untuk Taman Persahabatan Antarabangsa pada masa depan.

Sementara itu, Pengarah KL Base, Adrian ooi Kien Meng berkata KL Base menumpukan aktiviti Bold (berani), Adventure (kembara), Sports (sukan) dan Entertainment (hiburan) (BASE) dan menyasar untuk menjadi destinasi utama bagi kehidupan aktif dan menawarkan pelbagai kegiatan.

KL Base menjangkakan peningkatan kunjungan berterusan menerusi perkongsian dengan pengendali terkemuka seperti Combat Baze, selepas mengalu-alukan lebih 250,000 pengunjung dalam tempoh dua tahun lepas.

Perancangan pada masa depan termasuk Taman Persahabatan Antarabangsa, mempamerkan seni, budaya, makanan dan festival global.

Beliau berkata menerusi sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, KL Base bersedia untuk melancarkan inisiatif menarik dalam masa terdekat, memperkaya tawaran Kuala Lumpur dan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi dinamik untuk peminat kehidupan aktif.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan