EKONOMI > BERITA

CAPITAL A ZAHIRKAN MINAT BELI LAPANGAN TERBANG DI ASEAN

24/04/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Aviation Services iaitu perkhidmatan penerbangan di bawah Capital A Bhd menzahirkan minat memiliki lapangan terbang di seluruh Asean sebagai sebahagian daripada rancangan perniagaan lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata Aviation Services yang tidak mempunyai pegangan saham dalam AirAsia Group, boleh menumpukan kepada pemilikan lapangan terbang kerana ia adalah masa yang sesuai untuk berada dalam perniagaan lapangan terbang dengan reformasi semasa yang dilihat di rantau ini.

Aviation Services, yang bertujuan untuk menjadi ekosistem sokongan penerbangan sehenti terkemuka Asean, adalah di antara lima cabang di bawah Capital A, iaitu Aviation Group, Teleport, Move Digital dan Capital A International.

“Mereka (lapangan terbang) pada umumnya adalah dimiliki secara monopoli tetapi kini semua orang menjual lapangan terbang mereka atau membawa masuk pelabur ke dalam sektor itu.

“Saya pasti Capital A Aviation Services akan melihat pasaran secara pajakan dan mungkin juga membeli lapangan terbang. Secara peribadi, saya sentiasa mahu memiliki lapangan terbang dan saya mahu AirAsia memiliki lapangan terbangnya sendiri,” katanya semasa taklimat media mengenai rancangan lima tahun kumpulan itu hari ini.

Tony mengulas mengenai rancangan Capital A untuk melabur dalam lapangan terbang atau kemudahan baharu di Thailand berikutan perbincangan dengan Perdana Menteri Thai Srettha Thavisin pada Januari, bertujuan untuk meningkatkan perjalanan udara dan meletakkan Thailand sebagai hab penerbangan serantau.

Mengenai perkembangan SriLankan Airlines, beliau menjelaskan bahawa AirAsia Consulting, yang beroperasi di bawah Capital A Aviation Services, telah mengemukakan bidaan untuk membeli syarikat penerbangan itu dan akan mengumpul modalnya sendiri jika berjaya.

"AirAsia tidak membeli SriLankan Airlines," jelas beliau.

Sepanjang 23 tahun yang lalu, beliau berkata Capital A telah dibina melalui banyak pengalaman dan banyak syarikat penerbangan mendapatkan bantuan daripada kumpulan itu untuk mewujudkan syarikat penerbangan tambang rendah.

"Jadi, kami telah mewujudkan syarikat yang dipanggil AirAsia Consulting dan salah satu matlamatnya adalah untuk berpotensi mengambil bahagian dalam syarikat penerbangan yang berada di luar kumpulan AirAsia bagi mewujudkan syarikat penerbangan francais," katanya sambil menambah syarikat itu adalah semata-mata memberi perkhidmatan perundingan.

AirAsia Consulting adalah di antara enam pembida bagi mendapatkan syarikat penerbangan kendalian kerajaan Sri Lanka iaitu SriLankan Airlines, sebagai sebahagian daripada usaha negara berkenaan untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh syarikat milik kerajaan di bawah program Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang bernilai US$2.9 bilion (RM13.8 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Subashini Silvadas berkata proses pembidaan dijangka selesai menjelang Ogos dengan usaha wajar akan diselesaikan menjelang Julai.

“Kami fikir ia adalah satu proses yang baik tetapi pada peringkat ini, ia masih awal untuk kami memberikan maklumat lanjut.

Semalam, Bernama melaporkan AirAsia Consulting sedang merancang meneruskan libat urus dengan International Finance Corporation (IFC) yang diberi mandat menasihati kerajaan Sri Lanka berhubung pelupusan syarikat penerbangan SriLankan Airlines Ltd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan