EKONOMI > BERITA

MKS INSTRUMENTS AKAN BINA KILANG DI PULAU PINANG

11/06/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi global, MKS Instruments Inc (MKS) akan membina kemudahan di Pulau Pinang untuk menyokong pengeluaran peralatan fabrikasi wafer di rantau ini dan di peringkat global.

Syarikat itu merancang untuk membina kemudahan baharu itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan upacara pecah tanah dijangka bermula pada awal tahun 2025.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang dalam satu kenyataan bersama berkata Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO) MKS Instruments John T.C.Lee memberitahu jarak yang dekat dengan pelanggan dan pembekal mereka serta infrastruktur teknologi mantap, Pulau Pinang adalah lokasi kepada ekosistem semikonduktor yang kukuh.

“Memperluaskan perniagaan kami di Malaysia merupakan langkah penting bagi MKS Instruments kerana kami berusaha untuk terus meningkatkan keupayaan sebagai peneraju dalam pelbagai aplikasi pembuatan semikonduktor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu dengan ekosistem perindustriannya yang maju, ia mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk menyokong keperluan penggiat industri dalam teknologi masa depan dan strategi pertumbuhan.

“MKS Instruments membuka peluang dalam pembuatan semikonduktor, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk tenaga kerja tempatan, seiring dengan hasrat Pulau Pinang untuk meningkatkan rantaian nilai semikonduktor global,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan syarikat untuk membina kemudahan baharu di Malaysia mencerminkan reputasi negara yang semakin meningkat sebagai destinasi utama untuk pelaburan teknologi maju.

“Kemudahan baharu ini menyerlahkan daya tarikan Malaysia sebagai hab strategik untuk inovasi dan pembuatan, mencerminkan keyakinan syarikat terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata aktiviti syarikat itu dalam pasaran semikonduktor akan meningkatkan proses pembuatan dengan ketara di Malaysia seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan