EKONOMI > BERITA

JIMAT RM30 BILION JIKA PENYASARAN SUBSIDI DIESEL BERJAYA

12/06/2024 03:06 PM

PETALING JAYA, June 11 (Bernama) -- Kejayaan penyasaran subsidi diesel yang menjadi perintis kepada harga pasaran bahan api tanpa subsidi, berpotensi membantu menjimatkan perbelanjaan sehingga RM30 bilion setahun pada masa depan, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pengapungan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter mulai Isnin lepas menjadi ujian kepada kelancaran dan kecekapan mekanisme pelaksanaan   dasar pada masa depan termasuk dari segi agihan bantuan.

“Ini projek perintis sebelum kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi untuk petrol pula. Kalau belajar daripada pengalaman ini (mekanisme untuk diesel) mungkin dapat jimat lebih besar dalam RM30 bilion.

“(Usaha) ini juga akan meningkatkan perbelanjaan awam dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahad lepas, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadarRM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula Isnin.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Kerajaan turut mengurangkan kesan pengapungan harga diesel dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pakar ekonomi, Zarinah Yusof pula berkata harga baharu itu mampu membantu merendahkan defisitfiskal pada masa depan dan menghalang kerajaan daripada secara berterusan membiayai peniaga kaya, penduduk bukan warganegara dan pendatang asing membeli diesel bersubsidi.  

“Subsidi diesel dan subsidi barangan lain antarafaktor tarikan pendatang asing datang ke Malaysia dan menetap di sini,” katanya, sambil menambah RM3.35 seliter masih rendah jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Bagaimanapun, Zarinah berkata pelarasan harga itu juga boleh menyebabkan kenaikan kos barang dan perkhidmatan di pasaran yang memberi kesan kepada industri peruncitan, borong, pelancongan dan automobil.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kerajaan boleh meningkatkan fokus perbelanjaan ke arah inisiatif dan program kesejahteraan rakyat terutamanya golongan B40 atau rentan menerusi penjimatan subsidi bahan api.

“Pemberian BUDI MADANI dan subsidi kepadasyarikat pengangkutan awam akan mampu mengawal kenaikan harga barang,” katanya.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur Aimi Zulhazmi berpandangan harga barangan tidak sepatutnya meningkat berganda kerana kerajaan telah memberikan subsidi kepada syarikat logistik.

“Namun begitu, mungkin ada peniaga ambil kesempatan dengan alasan peningkatan kos pengangkutan yang menyeluruh. Justeru, agensi penguatkuasa perlu pantau kemungkinan ini,”katanya. 

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan