EKONOMI > BERITA

PEJABAT BAHARU MATRADE DI SINGAPURA AKAN TINGKATKAN PERDAGANGAN MALAYSIA-SINGAPURA -- TENGKU ZAFRUL

14/06/2024 09:38 PM

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Pembukaan semula pejabat perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Robinson Road di sini adalah tepat pada masanya untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata tambahan kepada rangkaian global MATRADE itu dalam kelembapan ekonomi dan penggubalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan membantu memastikan Malaysia dan syarikatnya terus berada di barisan hadapan dalam melakukan tindakan.

“Sejak tiga tahun lepas, apa yang berlaku di dunia ialah kita sedang menghadapi fasa globalisasi semakin perlahan atau ada yang menggunakan istilah ‘slowbalization' (kelembapan). Jadi ke mana aliran itu pergi? Asia Tenggara...sama ada suka atau tidak, sudah menjadi penerima bersih aliran itu.

“Memandangkan kami melihat lebih banyak aliran, kami percaya bahawa Malaysia harus memastikan syarikat tempatan mempunyai akses kepada aliran ini dan itu sebabnya kami membuka semula pejabat di Singapura,” katanya kepada media Malaysia selepas merasmikan pejabat baharu itu hari ini.

Pejabat berkenaan terletak di Tingkat 12, 61 Robinson Road.

Tengku Zafrul berkata pejabat baharu MATRADE itu penting untuk penglibatan perniagaan terutamanya dengan apabila JS-SEZ dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata Pemukiman Tahunan Pemimpin Malaysia-Singapura dijangka akan berlangsung pada September depan, keutamaan utama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) termasuk mengkaji semula hasil Rangka Kerja Kerjasama (FoC) dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau serta mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

“Pada Pemukiman Tahunan Pemimpin tahun ini, kita mahu melihat hasil daripada apa yang diumumkan tahun lepas mengenai FoC. Dalam rantaian bekalan, kita sudah mempunyai kumpulan kerja mengenainya, harapan kami supaya Pemukiman Pemimpin itu boleh menghasilkan sesuatu lebih substantif,” katanya.

Pada majlis itu, Tengku Zafrul menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Matrade dan Amazon Global Selling bertujuan untuk memudahkan urus niaga dan pertumbuhan e-dagang rentas sempadan jenama Malaysia menerusi bengkel latihan.

Beliau berkata kerjasama sebegini akan membantu perusahaan Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), memanfaatkan peluang besar yang ada dalam ASEAN dan pelbagai lagi.

“Platform e-dagang akan memainkan peranan dalam meningkatkan perdagangan intra-ASEAN. Buat masa ini, perdagangan intra-ASEAN hanya sekitar 23 peratus. Justerum wujud peluang dan saya berpendapat MATRADE memainkan peranan penting,” katanya.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata MoU itu akan melengkapkan PKS Malaysia dengan pengetahuan dan sumber diperlukan untuk mengembangkan kehadiran mereka di e-Store Amazon dan memperluaskan jenama mereka di Amerika Syarikat.

Jumlah penjual baharu Malaysia mengeksport produk mereka melalui Jualan Global Amazon meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh Januari-April 2024 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Ketua Jualan Global Amazon (Asia Tenggara) Anand Palit.

Sementara itu, Reezal Merican berkata pembukaan semula pejabat perdagangan berkenaan membuktikan komitmen MATRADE untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dan mempromosikan kemakmuran bersama.

"Pelancaran MATRADE Singapura menandakan satu peristiwa penting dalam strategi pengembangan global MATRADE berikutan penambahbaikan baru-baru ini kepada rangkaian pejabat luar negara termasuk di lokasi utama seperti Paris dan Kaherah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan