EKONOMI > BERITA

BATIK AIR, KIA BEKERJASAMA SEDIA KHIDMAT PINDAH TERMINAL UNTUK KELAS PERNIAGAAN

24/06/2024 06:38 PM

SEPANG, 24 Jun (Bernama) -- Batik Air memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Kia yang juga pengeluar automotif Korea Selatan Kia bagi perkhidmatan pindah terminal persendirian baharu, khusus bagi penumpang kelas perniagaan.

Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan itu berkata ia akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Promo Kelas Perniagaan dan Flexi menerusi pemindahan secara lancar dan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kerjasama dengan pengedar tunggal, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Batik Air menawarkan penumpang kelas perniagaannya dengan pilihan pemindahan yang selesa dan mesra alam.

“Penumpang akan dikendalikan menerusi kenderaan elektrik Kia EV9 dan model terkini Karnival yang mewakili teknologi automotif mampan serta premium terkini,” katanya.

Perkhidmatan bagi pengangkutan penumpang antara lokasi pengambilan di Pintu G1 Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit adalah sebagai tambahan kepada kaedah menggunakan bas disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotrain.

Sementara itu, bercakap kepada media selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata syarikat penerbangan itu gembira dapat bekerjasama dengan Kia yang juga peneraju dalam penyelesaian automotif serba mampan bagi menawarkan perkhidmatan ini kepada penumpang Kelas Perniagaan.

“Langkah menggunakan kenderaan elektrik sepenuhnya Kia EV9 juga memaparkan komitmen kami terhadap aspek kemampanan serta penyampaian perkhidmatan premium kepada para pelanggan kami.

“Batik Air mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar selain memastikan penumpang Kelas Perniagaan kami menikmati aspek keselesaan dan kemewahan. Inisiatif ini menepati visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan penerbangan udara lebih mampan,” katanya.

Majlis pemeteraian itu telah disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam pada itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik Kevin Ahn menyifatkan kerjasama dengan Batik Air itu seiring dengan visi korporat Kia - Pelan S serta komitmen berkaitan neutral karbon menjelang 2045.

Visi itu menyentuh usaha Kia menjadi peneraju dalam mobiliti lestari dan melangkaui aspek penyediaan sistem pemanduan kenderaan elektrik dengan pelepasan sifar karbon.

Dalam perkembangan berasingan, Batik Air hari ini turut melancarkan penambahbaikan terbaharu perkhidmatan dalam pesawat dengan memperkenalkan Wireless In-Flight Entertainment (WirelessIFE) atau Hiburan Tanpa Wayar Dalam Pesawat.

Perkhidmatan terbaharu ini menyokong usaha syarikat penerbangan itu menerusi Bring Your Own Device (BYOD) untuk sambungan mudah dalam pesawat Wireless-IFE menerusi telefon pintar, tablet atau komputer riba penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan