EKONOMI > BERITA

ABD RAHMAN DILANTIK PENGERUSI BAHARU THETA EDGE

09/07/2024 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Tan Sri Abd Rahman Mamat dilantik sebagai Pengerusi Theta Edge Bhd (Theta) berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tengku Datuk Hasmuddin Tengku Othman.

Menurut Theta, Abd Rahman merupakan seorang tokoh kewangan yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan Malaysia dan telah memegang pelbagai jawatan kanan sepanjang kerjaya beliau dalam bidang kewangan.

“Pada masa kini beliau memanfaatkan kepakarannya sebagai Pengerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) selain turut berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah dalam pelbagai syarikat dalam teknologi, penjagaan kesihatan, logistik dan pembuatan.

“Bakat dan keupayaan beliau telah terbukti dalam membimbing organisasi yang kompleks melalui fasa pertumbuhan, membolehkan beliau sebagai calon yang tepat untuk mempengerusikan Theta semasa proses tranformasi dan pertumbuhan syarikat buat masa kini,” menurut kenyataan syarikat itu.

Theta memaklumkan pelantikan Datuk Dyg Sadiah Abg Bohan ke dalam Lembaga Pengarahnya juga berkuat kuasa hari ini.

Dyg Sadiah merupakan pemimpin yang mempunyai kerjaya terbilang dalam perkongsian awam-swasta yang diasah semasa beliau berkhidmat dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Selain itu, pengalaman luas  Dyg Sadiah yang diperoleh semasa perkhidmatan beliau di UKAS adalah penting kepada Theta dalam melaksanakan dan meneruskan agenda PPP pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Theta memaklumkan pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memacu perniagaannya dalam mengharungi perubahan keadaan ekonomi dengan idea baharu yang segar selain memainkan peranan penting dalam perjalanan digital kumpulan syarikat itu.

Menurutnya pelantikan itu juga mewakili langkah penting untuk masa depan kumpulan syarikat dan kesemua warga syarikat akan menyokong usaha kerajaan dalam mendigitalkan negara dan rangka kerja MADANI.

“Dengan kepimpinan dan kepakaran mereka yang terbukti, kami yakin Theta akan mencapai pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan, sekali gus dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Kumpulan Datuk Nuraslina Zainal Abidin dalam kenyataan sama berkata pelantikan Abd Rahman dan Dyg Sadiah akan mengukuhkan lagi Lembaga Pengarah Theta, lebih-lebih lagi dengan kepakaran dan pengalaman luas mereka dalam sektor swasta dan dalam agensi teras kerajaan.

“Kami yakin kedua-dua tokoh ini akan memberi sumbangan yang tidak ternilai, terutamanya apabila Theta memulakan laluan yang lebih agresif ke arah pengembangan produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan