EKONOMI > BERITA

BURSA SETUJU PENYENARAIAN SORENTO CAPITAL DI PASARAN ACE

10/07/2024 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penyedia penyelesaian peralatan kebersihan bilik mandi dan dapur Sorento Capital Bhd menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, katanya tawaran awam permulaan (IPO) itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 155 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 74 juta saham, mewakili kira-kira 26.62 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan syarikat daripada 860 juta saham biasa.

Pengarah Urusannya Loo Chai Lai berkata kelulusan IPO berkenaan menandakan kejayaan penting syarikat itu memandangkan ia memberikan mereka akses kepada pasaran modal ekuiti.

“Sejak penubuhan kami pada 2005, kami telah komited untuk menyediakan rangkaian meluas penyelesaian bilik mandi dan dapur bagi ruang kediaman dan komersial.

“Menerusi hasil yang diraih daripada langkah penyenaraian itu, kami berhasrat untuk memperkukuh sokongan peniaga kami yang sedia ada, meluaskan rangkaian pengedar, mengembangkan jualan berasaskan projek dan meningkatkan pengiktirafan jenama melalui pelaburan dalam aktiviti penjenamaan dan pemasaran di Malaysia,” katanya.

Sorento Capital berhasrat untuk disenaraikan menjelang suku keempat 2024, dengan Alliance Islamic Bank Bhd sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan