EKONOMI > BERITA

JS-SEZ, BELANJAWAN 2025 SUNTIK SENTIMEN POSITIF BAGI SEKTOR PEMBINAAN - HLIB

12/07/2024 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata sektor pembinaan negara mendapat suntikan sentimen positif susulan pemuktamadan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Belanjawan 2025.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu turut mengekalkan saranan ‘overweight’ atau wajaran tinggi bagi sektor berkenaan dalam separuh kedua 2024 berikutan jangkaan pelancaran kontrak bagi projek-projek prasarana besar.

“Ini sepatutnya membawa kepada penganugerahan kontrak secara ketara dalam separuh kedua 2024, termasuk kemungkinan anugerah kontrak kedua tertinggi melebihi RM40 bilion,” katanya.

Selain itu, HLIB menjangkakan aliran bagi sektor pembinaan swasta akan diterajui oleh pusat data (DC) yang menyaksikan perancangan berkaitan diunjur terus kukuh.

“Pada tahun lepas, perancangan itu didorong oleh kemunculan Johor sebagai pasaran DC paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara.

“Beberapa pelaburan penting adalah seperti Chindata Group (Pusat Data Bridge) bernilai RM15 bilion, Microsoft (RM10.5 bilion), Google (RM9.4 bilion), EdgeConneX (RM9.3 bilion) serta AWS (RM25.5 bilion),” katanya.

HLIB berkata tempoh separuh kedua 2024 juga berkemungkinan menyaksikan projek-projek prasarana awam berskala besar, termasuk dalam tempoh terdekat seperti LRT Penang (RM10 bilion), Projek Sabah-Sarawak Link Road Fasa 2 (RM7.4 bilion), jalan raya Pesisir Utara Sarawak, projek hidro dan perairan Sabah, pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan projek tebatan banjir kritikal.

Sementara itu, perkembangan projek berpotensi seperti kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura dan Transit Aliran Automatik Johor juga mampu merangsang sentimen sektor yang lebih kukuh.

Pilihan utama bagi sektor berkenaan adalah Gamuda Bhd dengan harga sasaran RM9.08 dan Sunway Construction Group Bhd pada harga sasaran RM5.60.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan