EKONOMI > BERITA

U MOBILE JALIN KERJASAMA DENGAN FGV PERTINGKAT KETERHUBUNGAN, INFRASTRUKTUR DIGITAL

15/07/2024 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan anak syarikat FGV Holdings Bhd, FGV Prodata Systems Sdn Bhd untuk meningkatkan keterhubungan dan infrastruktur digital FGV Group selari dengan objektif transformasi perniagaannya.

Menerusi kenyataan bersama pada Isnin, FGV Prodata dan U Mobile menjelaskan prasarana U Mobile yang moden, boleh skala dan berkeupayaan 5G menyokong penyelesaian perusahaan termaju seperti perkhidmatan rangkaian terurus untuk operasi FGV Group dan pihak berkepentingannya.

“MoC ini akan turut menyaksikan kedua-dua pihak bersama-sama mencipta serta menggunakan platform dan penyelesaian digital yang inovatif seperti pertanian pintar, bangunan pintar dan pemantauan pintar.

“Ini akan membolehkan FGV Group dan pihak berkepentingannya memanfaatkan kelebihan automasi dan pendigitalan termasuk peningkatan kecekapan dan penjimatan kos operasi,” menurut kenyataan itu.

FGV Prodata dan U Mobile memaklumkan MoC itu turut menetapkan komitmen mereka untuk menawarkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran pekerja dan rakan perniagaan dalam teknologi dan alat digital baharu bagi memaksimumkan potensi inisiatif transformasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group Datuk Nazrul Mansor berkata FGV melalui FGV Prodata akan mempertingkatkan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan internet berkelajuan tinggi, penyelesaian rangkaian boleh dipercayai dan saluran komunikasi dipertingkatkan.

Beliau berkata kerjasama itu juga akan mengutamakan pembangunan dan pengurusan infrastruktur digital termaju, yang amat penting bagi menyokong inisiatif transformasi digital perniagaan FGV.

“Ini akan membolehkan FGV mengekalkan kepimpinannya dalam industri kelapa sawit global di samping menyumbang secara positif kepada matlamat pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan