EKONOMI > BERITA

KERAJAAN AKAN PASTIKAN STRATEGI PELABURAN HIJAU RANCAKKAN EKONOMI NEGARA - ZAFRUL

15/07/2024 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memastikan strategi pelaburan hijau mampu merancakkan ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Malah, pada masa sama dapat memastikan kita mencapai sasaran yang telah ada dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Forum Perkongsian Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat bulanan Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Tengku Zafrul berkata fokus strategi pelaburan hijau adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pertama di rantau ini.

“Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat MPN adalah mengenai strategi pelaburan hijau, dengan kita di peringkat MPN meneruskan strategi pelaburan hijau untuk negara.

“Kita akan memberi fokus kepada beberapa sektor yang akan kita berikan pencerahan nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan