EKONOMI > BERITA

TRANSFORMASI DIGITAL PENTING, BANTU PKS TANGANI KOS KENAIKAN CUKAI - ICAEW

16/07/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai  (Bernama) – Usaha transformasi digital merupakan aspek penting yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani peningkatan kos akibat kenaikan cukai perkhidmatan, kata Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

Malah, usaha menerimaguna teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI) juga dapat memaparkan potensi penting bagi aliran pasaran serta tingkah laku pengguna selain memastikan PKS membuat keputusan yang lebih bermaklumat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh beberapa ahli ICAEW hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding kewangan AGOS Asia Joon Teoh berkata susulan kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus daripada 6.0 peratus yang berkuat kuasa pada 1 Mac, 2024, PKS sewajarnya menumpukan aspek penjanaan hasil daripada terikat dengan proses pentadbiran semata-mata.

“Mekanisme sokongan daripada kerajaan adalah penting bagi memastikan PKS terus memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau juga menekankan PKS perlu mengutamakan aspek penyampaian nilai, walaupun ini memerlukan mereka melaras harga masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Beetle Knight Advisory Chia Yee Shin berkata kalangan industri yang banyak bergantung ke atas perkhidmatan dan barangan bercukai seperti hospitaliti, peruncitan, pembinaan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan khidmat profesional bakal berdepan kenaikan kos operasi.

Pada masa sama, usaha meninjau pasaran atau produk baharu, kurang terjejas dengan kenaikan cukai selain memberi sumber pendapatan baharu.

Sehubungan itu, Chia berkata kalangan perniagaan perlu memahami implikasi cukai selain memastikan perisian dan perkakasan sentiasa dikemas kini manakala kalangan pekerja dilatih untuk bekerjasama secara berkesan dalam menghasilkan dokumen pematuhan berkaitan.

Teoh berkata walaupun usaha penerimagunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) penting, aspek itu bagaimanapun bukanlah satu-satunya penyelesaian .

“Orang ramai misalnya memainkan peranan yang sama penting dalam membolehkan perubahan teknologi dan anjakan minda untuk menerima IR4.0 secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, Rakan Pengurusan firma perakaunan Morison LC Steven Chong berkata walaupun cukai perkhidmatan bertujuan ‘melepaskan’ kos daripada penyedia perkhidmatan kepada pengguna, ada segelintir perniagaan yang sebaliknya berkemungkinan memilih untuk menyerap kenaikan agar harga kekal kompetitif.

Tindakan itu, katanya, adalah berisiko terutama bagi mereka yang mencatat keuntungan kecil.

Chong juga menyarankan supaya perniagaan bertindak menyemak semula kedudukan cukai masing-masing dan memastikan jika perkhidmatan mereka mampu mendapat pengecualian, sekali gus dapat mengurangkan kos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan