EKONOMI > BERITA

MALAYSIAN RE LANCAR MIH 2024, KAJI LANDSKAP INDUSTRI INSURANS PESAT BERUBAH

17/07/2024 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) melancarkan edisi kelima penerbitan penyelidikan tahunannya Malaysian Insurance Highlights 2024 (MIH 2024) yang mengkaji impak landskap risiko yang telah banyak berubah di pasaran insurans Malaysia, menumpukan kepada insurans peribadi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata Malaysian Re komited untuk memperlihatkan industri insurans yang memanfaatkan evolusi pasaran dan dedikasinya kepada tanggungjawab sosial dan ekonomi.

“Kami bersedia untuk menunjukkan bagaimana industri ini memanfaatkan perkembangan baharu di pasaran dan memenuhi tanggungjawabnya kepada masyarakat dan ekonomi.

“Menerusi MIH 2024, kami meneroka landskap dinamik risiko merentas sempadan dan industri, membentuk amalan insurans di Malaysia, dan hasil dapatan menunjukkan bahawa banyak perubahan dalam industri kami, memanfaatkan peluang baharu dan mengotakan janji untuk menyediakan perlindungan kepada rakyat dan mengupayakan kemajuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aspek utama yang ditekankan dalam MIH 2024 adalah kebolehinsuransan risiko berkaitan iklim dan pembangunan pemodelan bencana, penyelesaian untuk meningkatkan pengambilan insurans dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, dan peluang pertumbuhan insurans kesihatan, yang kesemuanya memaparkan cabaran dan peluang.

Ahmad Noor Azhari berkata walaupun kesedaran orang ramai semakin meningkat terhadap manfaat insurans, kemampuan dan kebolehdapatan kekal menjadi isu utama.

“Walaupun pembuat dasar dan pengawal selia mengakui bahawa subsidi sebagai kaedah untuk meningkatkan penerimagunaan insurans, belanjawan awam yang terhad kekal sebagai halangan.

"Industri kami dengan itu berusaha untuk mendapatkan tindak balas yang sesuai terhadap risiko teknologi, iklim dan sosioekonomi saling berkaitan yang kami hadapi pada masa ini," katanya.

Malaysian Re berkata hasil dapatan MIH 2024 adalah berdasarkan temu bual berstruktur dan pandangan daripada pakar industri yang berkongsi pandangan mereka mengenai risiko bencana alam dan pemodelan perubahan iklim, menyediakan perlindungan patuh Syariah kepada kumpulan berpendapatan rendah dan menjalin perkongsian dengan institusi awam untuk meneruskan pengambilan insurans hayat dan kesihatan.

Menurutnya MIH 2024 akan menjadi sumber yang bernilai kepada industri, mengemudi kerumitan pasaran pada masa ini dan memimpin pembangunan masa depan insurans Malaysia.

MIH 2024 diterbitkan dengan kerjasama Faber Consulting AG, sebuah firma perundingan penyelidikan, komunikasi dan pembangunan perniagaan yang berpangkalan di Zurich, Switzerland.

Malaysian Re, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd (MNRB), menaja jamin semua kelas perniagaan insurans semula am serta perniagaan takaful semula am dan keluarga menerusi seksyen takaful semulanya.

Layari www.malaysian-re.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun salinan MIH 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan