BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 EKONOMI > BERITA

GERAKAN KOPERASI PERLU LAKSANA PERANAN SIGNIFIKAN MELALUI SEKTOR HARTANAH - EWON

19/07/2024 11:33 AM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Gerakan koperasi di Malaysia perlu melakukan peranan lebih signifikan melalui sektor pembangunan hartanah dan pembinaan yang boleh memberikan impak tinggi, bukan sahaja kepada ahlinya malah juga untuk orang ramai.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pembangunan hartanah tidak hanya tertumpu kepada perumahan malah juga pembangunan secara built to suit iaitu bangunan yang akan digunakan sebagai hospital, hotel, kilang, gudang, pusat data dan lain-lain peluang yang menguntungkan.

“Saya amat menggalakkan gerakan koperasi menceburi bidang hartanah kerana selain membantu menjana pendapatan, usaha itu juga dapat membantu rakyat Malaysia memiliki rumah.

“Konsep koperasi yang berpaksikan prinsip keterangkuman, dengan mencipta keuntungan melalui aktiviti milikan bersama, adalah bersesuaian untuk diamalkan dalam situasi ekonomi pada masa ini,” katanya pada majlis sambutan Hari Koperasi Negara peringkat Wilayah Persekutuan 2024, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Ewon berkata menyahut usaha kerajaan untuk menggalakkan sektor koperasi supaya terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan, SKM menyediakan pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM, yang dikenali sebagai Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Bestfi-100).

Beliau berkata pembiayaan daripada tabung itu ditawarkan khusus kepada koperasi yang tersenarai sebagai 100 koperasi terbaik, dengan jumlah pembiayaan yang boleh dimohon sehingga RM30 juta.

Ewon berkata setakat Disember 2023, sebanyak 1,171 koperasi berdaftar di Wilayah Persekutuan dengan keahlian sebanyak 2.39 juta.

Kedudukan aset koperasi secara keseluruhannya bernilai RM21.65 bilion dan menjana modal syer atau yuran berjumlah RM8.95 bilion manakala perolehan sebanyak RM5.67 bilion.

“Bagi saya, ini adalah satu angka yang besar dan mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.

“Nilai aset yang menjadi tunjang kekuatan gerakan koperasi di negara ini harus digunakan secara mampan dengan dikembangkan melalui platform pelaburan yang berdaya saing dan berimpak tinggi bagi memberikan tujahan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar yang disumbangkan oleh gerakan koperasi,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut melancarkan Inisiatif Strategk Baharu (NSI) SKM Wilayah Persekutuan iaitu Projek Rumah Selangorku: Shorea Garden yang dimajukan oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd (Koop Sahabat).

Projek Rumah SelangorKu Shorea Garden bernilai RM63.8 juta itu merupakan projek pembangunan usaha sama antara Koperasi Sahabat Bhd dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor.

Projek yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 4.046 hektar di Puchong dan menawarkan 230 unit pada harga bermula RM275,000 itu itu akan dilengkapi antaranya pusat komuniti, dan pondok kawalan keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan