EKONOMI > BERITA

DAFTAR MASUK DALAM TALIAN AIRASIA PULIH -- TIMBALAN CEO KUMPULAN

20/07/2024 07:40 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram & Norhayati Mohd Akhir

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- AirAsia telah menyambung semula operasi daftar masuk dalam talian pada 2 petang tadi, selepas syarikat penerbangan itu dilanda kegawatan akibat gangguan teknologi maklumat (IT) global sejak lewat petang semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Syarikat Penerbangan) AirAsia Datuk Kapten Chester Voo berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu akan terus memantau keadaan.

Beliau menasihatkan penumpang tiba awal di lapangan terbang bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan dan beratur panjang.

“Apa pun cabaran, kami sangat berdaya tahan kerana ia penting kepada kami bagi mengutamakan orang ramai, memandangkan mereka telah membayar untuk terbang, walaupun gangguan ini bersifat global dan bukan disebabkan oleh kami,” katanya kepada Bernama.

Sejak gangguan itu bermula, AirAsia telah berjaya menguruskan lebih 168,000 penumpang dalam 941 penerbangan merentasi tujuh Sijil Pengendali Udaranya ( AOC) termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Indonesia, AirAsia Thailand, AirAsia Kemboja dan AirAsia X, katanya.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat penerbangan tersebut mengalami gangguan sistem pada magnitud sedemikian, yang memerlukan pertukaran mod kepada kertas.

“Dengan semua kepakaran yang kami ada dan data sandaran, kami bekerja tanpa jemu untuk mencari penumpang sewajarnya. Dalam mod manual, setiap proses perlu disahkan kerana segala-galanya dikawal selia dalam industri penerbangan.

“Kami perlu melalui proses keselamatan, kawal selia serta pematuhan secara manual, yang bermaksud orang ramai terpaksa beratur panjang untuk disahkan satu demi satu dan ini sangat merimaskan,” jelasnya.

Syarikat penerbangan itu telah mengukuhkan operasinya bagi menguruskan kesibukan hujung minggu di lapangan terbang dengan menempatkan lebih 200 kakitangan darat, hampir 100 sukarelawan Allstars dan anggota keselamatan untuk membantu menangani keadaan.

Voo juga menyatakan harapan agar prestasi tepat masa (OTP) akan kembali normal dengan penyambungan semula sistem daftar masuk dalam talian.

“Kami mempunyai kira-kira 88 peratus OTP, tetapi dengan kekacauan global ini, ia beransur-ansur menurun. Kami berharap dapat kembali normal tidak lama lagi,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang atas kesabaran dan kepercayaan mereka terhadap AirAsia semasa gangguan global ini sehingga menyebabkan pengurusan terpaksa dilakukan dalam mod manual penuh.

“Kami juga ingin mengalungkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd termasuk semua kementerian serta agensi berkaitan atas sokongan dan bantuan mereka semasa krisis,” tambahnya.

Semalam, institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global.

Kegagalan itu dikaitkan dengan kesilapan firma keselamatan siber global CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, perisikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan