EKONOMI > BERITA

PETRONAS MUNGKIN KEHILANGAN SEBAHAGIAN PENDAPATAN KERANA TIDAK MENJADI AGREGATOR GAS TUNGGAL DI SARAWAK

22/07/2024 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama)-- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka kehilangan sebahagian daripada pendapatannya kerana tidak lagi menjadi pengagregat gas tunggal di Sarawak, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank itu berkata terdapat banyak perbincangan mengenai Petronas yang dijangka memotong perbelanjaan modal (capex) berikutan berita Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih pembelian dan penjualan gas asli Sarawak daripada Petronas.

Pengambilalihan itu akan bermula pada separuh kedua 2024.

“Kami mungkin menyaksikan beberapa potensi dalam gangguan operasi bagi tempoh terdekat sebelum banyak kejelasan atau penyelesaian jelas dicapai antara Petros dan Petronas.

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa pada akhirnya kedua-dua pihak mahu memaksimumkan pengeluaran, terutamanya apabila harga minyak dijangka kekal stabil," tambahnya.

Selain itu, RHB IB berpendapat pemotongan capex domestik yang drastik oleh satu pihak adalah tidak mampan dalam jangka panjang kerana ia akhirnya akan menjejaskan kedudukan minyak dan gas (O&G) Malaysia di rantau ini.

Sebelum ini Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM300 bilion antara 2023 dan 2027 (RM50 bilion setahun) yang merangkumi perbelanjaan modal purata domestik RM22.6 bilion setahun (capex lima tahun RM113 bilion).

Bank pelaburan itu berkata Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023, dengan pembahagian yang hampir sama untuk portfolio domestik dan antarabangsanya.

“Segmen huluan dan gas masing-masing menyumbang 52 peratus dan 22 peratus daripada capex domestik, dan pemindahan peranan pengumpul gas tunggal kepada Petros mungkin membawa kepada pemotongan capex yang lebih ketara dalam segmen gas.

“Walaupun kami mungkin melihat beberapa gangguan operasi yang berpotensi dalam tempoh terdekat, kami masih menganggap resolusi yang perlu dicapai antara kedua-dua pihak terbabit tanpa menjejaskan pengeluaran sedia ada dan pelaburan domestik masa depan untuk memperoleh permintaan gas global yang semakin meningkat,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata impak pendapatan terhadap Petronas juga kekal tidak menentu, tetapi langkah itu mungkin menjejaskan keupayaannya untuk berbelanja.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap hala tuju dan strategi Petronas, RHB IB masih mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor O&G.

Buat masa ini, bank pelaburan itu terus memihak kepada pemain perkhidmatan huluan dengan pendedahan yang lebih besar dalam bidang berkaitan penyelenggaraan, kerana ia memberikan daya tahan dalam pendapatan yang lebih besar, ditambah pula dengan syarikat yang memiliki kepelbagaian antarabangsa seperti Yinson, MISC dan Bumi Armada.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan