EKONOMI > BERITA

HDC JANGKA JANA POTENSI JUALAN RM208.7 JUTA DARIPADA SAUDI FOOD SHOW

22/07/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Halal Development Corporation (HDC) menjangka menjana potensi jualan bernilai RM208.7 juta daripada pameran Saudi Food Show yang berlangsung dari 21 hingga 23 Mei, 2024, di Riyadh, Arab Saudi.

HDC, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata penyertaannya dalam pameran perdagangan tersebut mencapai kejayaan cemerlang dengan penglibatan lebih 110 pembeli global menerusi 59 mesyuarat perniagaan yang diatur sebelumnya dan lebih 100 syarikat yang datang berkunjung sendiri ke pavilion tanpa temu janji.  

“Semasa pameran tersebut, HDC mengukuhkan kembali kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor halal dengan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pavilion HDC yang menempatkan 15 reruai syarikat halal dari Malaysia dan syarikat yang bersedia untuk mengeksport, mendapat perhatian utama daripada profesional industri, pelabur, dan rakan kongsi berpotensi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari berkata HDC bersedia untuk menyertai pameran Food and Hospitality Indonesia 2024 yang berlangsung dari 23-26 Julai ini di Jakarta International Expo sebagai komitmennya untuk mengembangkan capaian perniagaan halal Malaysia. 

Pameran tersebut akan menampilkan lebih daripada 500 pempamer dari 20 negara yang akan mempamerkan produk daripada sektor makanan, minuman dan hospitaliti.

Sebagai negara yang memiliki populasi Islam terbesar di dunia, Indonesia diiktiraf sebagai peneraju dalam pasaran makanan dan minuman halal global, menjadi pengeksport terbesar (US$7.83 bilion) serta pengimport kedua terbesar (US$17.54 bilion) makanan halal dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 2020.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan