EKONOMI > BERITA

ALLIANCE BANK CATAT UNTUNG BERSIH TERTINGGI SEBANYAK RM690.47 JUTA BAGI TAHUN KEWANGAN 2024

22/07/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM690.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024 berbanding dengan RM677.84 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan turut meningkat kepada RM2.02 bilion daripada RM1.91 bilion bagi tempoh yang sama.

“Lonjakan perolehan itu didorong oleh peningkatan pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

“NII menokok 4.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.72 bilion, dengan margin faedah bersih kekal dalam sasaran pada 2.48 peratus,” jelas bank itu dalam kenyataan pada Isnin.

NOII Alliance Bank, tidak termasuk pembrokeran, meningkat 15.1 peratus tahun ke tahun kepada RM300.2 juta, dirangsang oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada pengurusan kekayaan, yuran pertukaran asing dan yuran perkhidmatan perbankan.

“Nisbah kos kepada pendapatan bagi tahun kewangan ini pada 48.2 peratus,” katanya.

Bank itu mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 11.45 sen sesaham, menjadikan dividen keseluruhan pada 22.3 sen sesaham, mencerminkan nisbah pembayaran dividen keseluruhan sebanyak 50 peratus.

Susulan itu, dividen keseluruhan yang diumumkan bernilai RM345.2 juta bagi tahun kewangan itu.

Strategi transformasi Acceler8 oleh Alliance Bank terus menampakkan hasil positif merentas kesemua lapan tonggak pertumbuhannya, mengorak langkah penting ke arah menjadi The Bank For Life bagi pemegang kepentingannya.

Tumpuan bank itu terhadap penyelesaian berteraskan ESG, diperkukuhkan menerusi kerjasama dengan entiti seperti United Nations Global Compact Malaysia and Brunei serta kerjasama dengan negara, membawa kepada peningkatan ketara dalam pinjaman yang diluluskan melalui Program Impak Kelestarian.

“Berdasarkan kumulatif pinjaman diluluskan bernilai RM420 juta, Alliance Bank mencapai lebih 140 peratus daripada sasaran pembiayaan hijau tahun kewangan 2024 sebanyak RM300 juta,” katanya.

Pembukaan cawangan baharu di Saradise, Kuching, Sarawak, awal tahun ini, serta cawangan baharu di Jalan Kelawai, Pulau Pinang, yang dijadual dibuka pada tahun kewangan 2025, dijangka meningkatkan lagi operasi di negeri-negeri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata prestasi setahun penuh itu mengesahkan hala tuju strategik bank tersebut, sejajar transformasinya dan memenuhi tujuan jenama untuk menjadi The Bank For Life untuk pelanggan, merealisasikan nilai dan berkhidmat sebagai rakan boleh dipercayai dalam setiap langkah perjalanan kewangan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan