EKONOMI > BERITA

ERL, AREX LANCAR GABUNGAN PERKHIDMATAN REL LAPANGAN TERBANG HUBUNGKAN KUALA LUMPUR DAN INCHEON

23/07/2024 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan AREX Airport Railroad Co. Ltd. (AREX) menandatangani perjanjian kerjasama bagi menyediakan perjalanan lebih lancar kepada penumpang antara Kuala Lumpur dan Incheon, Korea Selatan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL Noormah Mohd Noor dan CEO AREX Kim Jongdae, dengan disaksikan Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae.

Kenyataan bersama oleh kedua-dua syarikat berkenaan memaklumkan menerusi kerjasama itu penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke Kuala Lumpur dan Incheon boleh membeli tiket tren ERL dan AREX secara bersama di Klook melalui hanya satu transaksi.

“Pilihan inovatif ini membolehkan penumpang membeli tiket tren dalam satu transaksi, yang akan memudahkan lagi urusan pemindahan lapangan terbang bagi pengembara antarabangsa dan meningkatkan pengalaman perjalanan mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Noormah berkata selain menawarkan tiket tren secara bersama, ERL berharap kerjasama itu dapat mewujudkan gabungan dalam kalangan pengendali rel lapangan terbang sebagaimana gabungan dalam kalangan syarikat penerbangan seperti OneWorld dan Star Alliance.

“Ketika ini terdapat lebih 25 perkhidmatan rel-udara di dunia, jumlah yang mencukupi untuk pengendali rel lapangan terbang bergabung sebagaimana gabungan syarikat penerbangan, dan kami berhasrat untuk menghubungi pengendali lain bagi membolehkan gabungan ini menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan sama. 

Noormah turut berterima kasih kepada AREX atas kesungguhan mereka untuk menjalin kerjasama, serta menegaskan bahawa ini akan membantu ERL menembusi pasaran Korea dan memperkenalkan perkhidmatan tren dalam kalangan pengembara negara itu yang merancang untuk melawat Kuala Lumpur.

“Pelancong Korea akan dapat menikmati proses pemindahan dari lapangan terbang ke pusat bandar dengan lancar dan efisien, sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan perjalanan mereka,” katanya. 

Sementara itu, Kim berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama itu untuk berkongsi kekuatan masing-masing dan menyediakan perkhidmatan tren yang lebih mudah.

Yeo pula berkata kerjasama itu akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dan sebagai langkah penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan tren.

Selesai majlis menandatangani perjanjian, delegasi dari AREX kemudian dibawa melawat kemudahan daftar masuk penerbangan dalam bandar ERL di KL Sentral, dengan perkhidmatan daftar masuk dan kiosk layan diri disediakan untuk Malaysia Airlines, Batik Air, Cathay Pacific, KLM, dan Ethiopian Air.

Pakej Bersama ERL & AREX sudah boleh dibeli di Klook sejak 15 Julai lepas dan bagi meraikan pelancarannya, ERL dan AREX menawarkan diskaun 10 peratus untuk 500 tiket pertama, dengan setiap tiket sehala bagi dewasa adalah RM71.65, tertakluk kepada terma dan syarat.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan