EKONOMI > BERITA

PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR BERNILAI RM314.5 BILION PADA 2023 - DOSM

24/07/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan RM314.5 bilion dengan harga malar pada 2023 berbanding RM298.2 bilion pada 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, katanya gabungan tekanan ekonomi global, penyesuaian dasar dalam negara, cabaran sektor khusus dan keadaan kewangan telah memberi kesan signifikan terhadap pertumbuhan sederhana PMTK di Malaysia pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata PMTK kekal sebagai komponen kedua terbesar dalam keluaran dalam negara kasar dengan sumbangan 20.1 peratus daripada jumlah ekonomi keseluruhan.

“PMTK bertumbuh 5.5 peratus pada 2023 berbanding 6.8 peratus pada 2022. Kesemua aktiviti utama menunjukkan peningkatan pada 2023, terutama pelaburan dalam aset tetap aktiviti perkhidmatan dan pembuatan,” katanya dalam kenyataan sama.

Prestasi memberangsangkan dalam aktiviti perkhidmatan didorong oleh sub aktiviti pengangkutan dan penyimpanan; maklumat dan komunikasi; dan perdagangan borong dan runcit, dengan masing-masing meningkat 9.9 peratus dan 8.9 peratus pada 2023, katanya. 

Sementara itu, aktiviti pembuatan bertumbuh 5.5 peratus pada 2023 (2022: 10.0 peratus).

Menurut DOSM, pertumbuhan sederhana ini dipengaruhi oleh makanan, minuman dan tembakau iaitu 8.9 peratus (2022: 14.7 peratus), produk elektrik, elektronik dan optikal dan peralatan pengangkutan sebanyak 6.8 peratus (2022: 9.3 peratus); dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 4.5 peratus (2022: 8.7 peratus).

Sektor swasta kekal mendominasi PMTK sebanyak 77.2 peratus, dengan pertumbuhan sederhana 4.6 peratus berbanding 7.2 peratus pada 2022.

Sumbangan sektor awam dalam PMTK adalah 22.8 peratus, berkembang kepada 8.6 peratus berbanding 5.3 peratus pada 2022.

"Aktiviti perkhidmatan menyumbang 63.9 peratus (2022: 63.6 peratus) kepada PMTK sektor swasta, diikuti aktiviti pembuatan pada 23.0 peratus. Aktiviti lain menyumbang 13.1 peratus daripada jumlah PMTK,” menurut kenyataan itu. 

DOSM berkata PMTK sektor awam turut diteraju oleh aktiviti perkhidmatan, dengan sumbangan 80.5 peratus, diikuti oleh aktiviti perlombongan dan pengkuarian (9.9 peratus) dan pembuatan (8.8 peratus).

Bagi perbandingan dengan negara di rantau Asean, sebahagian daripadanya mencatatkan pertumbuhan PMTK lebih baik, terutama Indonesia dan Singapura, masing-masing pada 7.6 peratus dan 4.9 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan