EKONOMI > BERITA

KHAZANAH RESEARCH CADANG SKIM BINA DAN JUAL BAGI LINDUNGI PEMBELI RUMAH

25/07/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Khazanah Research Institute (KRI) mencadangkan peralihan kepada skim pembelian rumah 'bina dan jual' di Malaysia, iaitu pemaju perlu menyiapkan projek perumahan sebelum dijual bagi melindungi kepentingan pengguna.

Pengarah penyelidikannya Dr Suraya Ismail berkata di bawah sistem itu, pembeli rumah tidak akan menanggung risiko komersial dan masalah yang berkaitan dengan pembangunan perumahan berkenaan.

"Negara-negara Asia Tenggara yang lain telah melaksanakan perlindungan pengguna terhadap kecuaian pemaju. Bagaimanapun, kita kekurangan akta perlindungan pengguna yang serupa di Malaysia," katanya dalam Webinar KRI "The Financialisation and Commodification of Our Homes", hari ini.

Pada masa ini, pemaju di Malaysia mengamalkan skim 'jual kemudian bina' (STB), iaitu rumah dijual dan bayaran kemajuan dikutip semasa pembinaan sedang berjalan.

Suraya juga menggesa pihak-pihak yang berkaitan menjadikan harga rumah di Malaysia benar-benar mampu milik.

Menurut data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan pengiraan oleh KRI, harga rumah median meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 23 peratus dari RM170,000 kepada RM270,000 antara 2012 dan 2014.

Beliau berkata pasaran perumahan secara konsisten mencatat skor atas 3.0 (ambang mampu milik), menunjukkan yang ia 'sangat tidak mampu milik'.

Sebaliknya, pendapatan isi rumah median meningkat pada CAGR yang lebih perlahan sebanyak 11.7 peratus, kurang daripada separuh kadar peningkatan harga rumah.

Memetik laporan Bank Negara Malaysia, beliau berkata nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 67.2 peratus pada 2002 kepada 84.2 peratus pada 2023.

Suraya menambah jumlah pinjaman sektor isi rumah berkembang secara konsisten sepanjang tahun, meningkat daripada RM332 bilion pada 2006 kepada RM1.26 trilion pada 2023.

"Pinjaman perumahan membentuk bahagian terbesar daripada jumlah pinjaman isi rumah, meningkat daripada 36 peratus pada 1997 kepada 60.5 peratus pada 2023, diikuti oleh pinjaman untuk kenderaan motor dan pinjaman peribadi," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar menghentikan pinjaman perumahan dengan tempoh yang panjang, seperti yang melebihi 35 tahun atau pinjaman antara generasi.

"Semakin panjang tempoh pinjaman perumahan, semakin banyak harga rumah akan meningkat disebabkan oleh pembiayaan. Mengurangkan tempoh pinjaman perumahan akan menjadikan harga rumah lebih mampu milik dan mewujudkan kenaikan harga yang mampan di pasaran," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan