EKONOMI > BERITA

Sektor Semikonduktor Kukuh, Kurangkan Kebergantungan Pada Import - MARii

28/07/2024 10:44 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu and Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Industri semikonduktor domestik yang kukuh, di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), boleh mengurangkan pergantungan kepada import dan mengukuhkan rantaian bekalan automotif, kata Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Reza Aziz berkata kenderaan elektrik (EV) bergantung pada komponen semikonduktor untuk fungsi kritikal, antaranya pengurusan bateri dan pengkomputeran.

“Sehubungan itu, pembangunan rantaian bekalan adalah penting untuk menyokong pengeluaran dan pemasangan EV,” katanya kepada Bernama.

Sebagai contoh, kereta hibrid biasanya memerlukan sekitar 1,500 mikrocip manakala EV pula mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 cip untuk setiap kereta, diperoleh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Fasa 1-3 NSS, menekankan pengeluar cip paling canggih untuk menjadi syarikat termaju akan membolehkan pembekal automotif tempatan menjadi lebih inovatif dalam pembangunan produk.

“Ini memastikan produk mereka beraspirasi untuk menyokong pengeluar EV dan industri di Malaysia, ia akan meningkatkan keseluruhan industri automotif,” kata Azrul Reza.

Pada 28 Mei lepas, NSS telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia terdiri daripada tiga fasa utama.

Fasa 1 akan memberi tumpuan kepada pelaburan langsung domestik, memfokuskan terhadap reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan peralatan pembuatan manakala pelaburan langsung asing akan menekankan kepada fabrikasi wafer dan peralatan pembuatan.

Bagi Fasa 2 pula, Malaysia akan menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam sektor reka bentuk dan pembungkusan termaju dengan pendapatan antara RM1 bilion dan RM4.7 bilion.

Fasa 3 akan memberi tumpuan kepada menyokong pembangunan reka bentuk semikonduktor Malaysia bertaraf dunia, pembungkusan termaju dan firma peralatan pembuatan sambil menarik pembeli cip termaju.

 

NSS tingkatkan ekosistem EV

Azrul Reza berkata NSS akan meningkatkan ekosistem dan meningkatkan keupayaan pembekal automotif tempatan dan setiap dasar telah mengenal pasti sokongan yang diperlukan untuk memastikan aktiviti nilai tambah tinggi dijalankan oleh industri tempatan dan menghasilkan barangan bertaraf dunia untuk pasaran global.

“NSS menggariskan sasaran bahawa rantaian bekalan automotif tempatan mungkin boleh memulakan atau mengembangkan dalam sektor E&E seperti menubuhkan 100 syarikat berkaitan semikonduktor, membangunkan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan global untuk semikonduktor serta latihan dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi.

“Oleh itu, NSS akan menawarkan peluang yang luas kepada vendor automotif tempatan untuk mengambil bahagian dan muncul sebagai pembekal kepada kenderaan baharu kelak,” katanya.

Sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, Azrul Reza berkata Malaysia telah mula menarik pelaburan bernilai lebih tinggi dalam aktiviti hadapan termasuk reka bentuk litar bersepadu, fabrikasi wafer dan pembungkusan termaju bersama-sama dengan pembuatan mesin serta peralatan semikonduktor.

Malaysia telah menarik perhatian daripada industri terkemuka seperti Intel, GlobalFoundries, Infineon dan Neways, ia seterusnya akan meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global, katanya.

“Mengenai industri automotif, kami melihat prospek cerah. Pertumbuhan dalam industri ini akan disokong oleh aliran serantau yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan ekosistem, permintaan pengguna serta pengenalan model baharu yang menarik oleh pengeluar peralatan asal.

“Semikonduktor terhadap pertumbuhan EV kekal penting kerana Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai 20 peratus daripada xEV yang merangkumi hibrid, plug-in hybrid EV (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan elektrik sel bahan api kenderaan (FCEV) daripada jumlah volum industri (TIV) menjelang 2030 dengan pencapaian semasa sebanyak 4.95 peratus daripada TIV pada Mac 2024,” kata Azrul Reza.

 

NSS akan pacu industri automotif tempatan

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berpendapat NSS sebagai langkah positif untuk rantaian bekalan automotif tempatan dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend global ini.

Beliau berkata NSS boleh membantu meningkatkan industri automotif tempatan dan mengukuhkan lagi usaha Malaysia untuk menempatkannya sebagai hab pembuatan EV yang menarik di ASEAN.

“MAA memuji langkah kerajaan yang dilakukan tepat pada masanya untuk memperkenalkan NSS. Malaysia mempunyai rantaian bekalan automotif yang matang, sejak lebih 50 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kos menubuh pembuatan komponen dengan teknologi baharu adalah tinggi dan cara paling berkesan untuk mewajarkan pelaburan ini adalah untuk Malaysia meletakkan dirinya sebagai hab eksport.

“Kami perlu meningkatkan keupayaan kami dari segi kualiti, kemampuan dan produktiviti dalam komponen buatan tempatan. Faktor penyumbang termasuk meningkatkan volum eksport Malaysia dan mengembangkan kapasiti untuk kualiti dan kompleksiti.

“Ini akan membantu ekosistem pengeluar peralatan asal (OEM) kami berkembang. Insentif cukai dan sokongan kerajaan harus digunakan untuk meningkatkan kualiti serta daya saing serta menggalakkan eksport sambil tidak digunakan untuk keuntungan harga jangka pendek,” kata Mohd Shamsor.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata industri semikonduktor semakin disepadukan dengan sektor automotif berikutan percambahan fungsi pintar dalam kenderaan.

Beliau berkata integrasi ini memerlukan komponen semikonduktor yang lebih besar, mewujudkan hubungan simbiotik antara kedua-dua industri.

“Apabila mereka saling berkait dan saling melengkapi, mereka memupuk rantaian bekalan yang lebih kompleks dan berdaya tahan dalam ekonomi domestik.

“Akhirnya, sinergi antara industri automotif dan semikonduktor akan memacu pertumbuhan ekonomi yang ketara," katanya.

Beliau berkata menangani cabaran rantaian bekalan dan memupuk kerjasama antara pemain tempatan dan global, Malaysia boleh meningkatkan kecanggihan rantaian bekalannya dan memperkukuh rangka kerja ekonominya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan