EKONOMI > BERITA

N. Gobalakrishnan Dilantik Presiden Baharu NCCIM

30/07/2024 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) mengumumkan pelantikan Datuk Seri N. Gobalakrishnan sebagai presidennya bagi penggal 2024-2026.

Gobalakrishnan yang menggantikan Tan Sri Soh Thian Lai berkata pimpinannya akan menumpukan usaha meningkatkan kedudukan dan hubungan NCCIM dengan kerajaan, komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa selain menyokong dasar Kerajaan MADANI serta memupuk pertumbuhan ekonomi mampan.

Dalam kenyataan hari ini, NCCIM berkata dewan itu turut teruja dengan perspektif baharu yang dibawa oleh Gobalakrishnan.

"Pengalaman luas dan kepimpinan proaktif beliau dijangka membawa NCCIM ke tahap kejayaan dan kerjasama baharu," katanya.

Pada masa sama, NCCIM turut berterima kasih kepada Soh dan di bawah kepimpinannya, dewan itu semakin berpengaruh dan diiktiraf serta memudahkan dialog berkesan antara komuniti perniagaan tempatan, antarabangsa selain badan kerajaan.

NCCIM juga menyatakan dedikasinya dalam menyokong pelbagai keperluan komuniti perniagaan Malaysia.

Ditubuhkan oleh Kabinet kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1962, NCCIM adalah organisasi perniagaan utama di Malaysia yang dianggotai oleh lebih 700,000 ahli.

Ia turut melibatkan lima konstituen iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan  Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan