EKONOMI > BERITA

Gerakan Boikot Tidak Beri Kesan Ketara Pada Ekonomi Negara - Kementerian Ekonomi

31/07/2024 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Gerakan memboikot dilihat tidak memberikan kesan ketara kepada ekonomi negara memandangkan sumbangan subsektor makanan dan minuman kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil iaitu 2.4 peratus pada suku pertama 2024.

Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dan tidak terkesan dengan gerakan pemboikotan itu.

Ia menjelaskan pembaharuan struktur ekonomi yang sedang dilaksanakan dijangka menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi bagi mempercepat peralihan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Pada masa yang sama, syarikat berjenama tempatan wajar mengambil peluang serta lebih kreatif dan inovatif dalam menawarkan produk tempatan yang berkualiti dan memenuhi cita rasa rakyat tempatan. Tindakan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi permintaan untuk produk buatan Malaysia,” tambahnya.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian tersebut menyatakan peratusan pertumbuhan ekonomi untuk subsektor minuman dan makanan ketika kebanyakan pemain industri berkenaan mengalami tekanan akibat gerakan boikot.

Kementerian Ekonomi berkata konflik Asia Barat antara rejim zionis Israel dan Palestin yang berlaku pada 7 Oktober, 2023 telah mendorong kepada gerakan untuk memboikot sebahagian perniagaan syarikat jenama luar negara oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

“Pemboikotan ini menyebabkan pengguna cenderung untuk beralih kepada jenama makanan dan minuman keluaran tempatan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan