EKONOMI > BERITA

Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024 Dikuatkuasakan Hari Ini - BNM

01/08/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan menguatkuasakan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024 (MSBA 2024) mulai 1 Ogos, 2024.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata, pindaan itu memperuntukkan penjara mandatori untuk tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000 bagi pengendali perniagaan perkhidmatan wang (MSB) yang haram.

MSBA 2024 juga menyediakan penerangan lebih jelas berhubung kesalahan bersubahat dengan pengendali haram, takrifan jelas perniagaan kiriman wang dan skop bukti untuk digunakan bagi mendakwa pengendali haram dan pihak berkuasa melucuthakkan harta pengendali haram apabila didakwa bagi menghalang pesalah berulang.

Selain itu pindaan tersebut juga membolehkan BNM mengambil tindakan pentadbiran dan bukan tindakan undang-undang terhadap kesalahan operasi oleh pemegang lesen MSB selaras dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih setara dengan tahap keseriusan kesalahan.

“Pindaan kepada MSBA itu akan memperkukuh keupayaan BNM untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berkesan terhadap pengendali haram.

“Langkah ini akan bertindak sebagai pencegahan yang mantap terhadap aktiviti tidak dibenarkan yang boleh mendedahkan pelanggan kepada risiko serta menjejaskan integriti industri perniagaan perkhidmatan wang,” kata BNM.

Bank pusat berkata MSBA diterbitkan kali pertama pada 2011 untuk mentadbir amalan dan penyeliaan industri MSB yang terdiri daripada pengurup wang, pengendali perkhidmatan kiriman wang dan pemborong mata wang.

“Akta itu memainkan peranan utama dalam mempertingkat tahap profesionalisme dan piawaian pematuhan industri serta mencegah penyalahgunaan entiti MSB untuk tujuan jenayah,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai MSBA 2024, boleh rujuk di laman sesawang bnm.gov.my/legislation manakala orang ramai boleh melaporkan mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melalui bnmlink.bnm.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan