EKONOMI > BERITA

emart24 Rancang Buka 17 Cawangan Di Pantai Timur Tahun Ini

01/08/2024 09:15 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos (Bernama) -- Kedai serbaneka Korea Selatan, emart24 yang mempunyai 65 cawangan di Malaysia setakat ini, merancang membuka 17 lagi premis di Pantai Timur menjelang akhir 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd Vuitton Pang berkata ini bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan terhadap makanan dan minuman jalanan Korea Selatan pada harga berpatutan dan menggunakan ramuan halal.

Pada masa ini terdapat 28 cawangan emart24 di seluruh Pantai Timur dengan jumlah pelanggan mencecah 300,000 orang sebulan.

"Kami merancang untuk menggandakan daripada tujuh kepada 15 cawangan di Terengganu manakala di Kelantan tambahan enam kepada 14 cawangan sedia ada.

"Di Pahang, kami mengenal pasti tiga lokasi untuk pembukaan cawangan baharu daripada tujuh premis ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Vuitton berkata pihaknya juga menyasarkan untuk menambah kepada 300 cawangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Beliau juga yakin emart24 menjadi pilihan utama rakyat negara ini berdasarkan aspek kualiti yang konsisten, harga berpatutan dan konsep sajian moden.

“Malaysia adalah pasaran luar negara pertama yang diterokai emart24 menggunakan slogan ‘Rasa Korea, Hari Ceria.’

"Selain makanan sedia dimakan, terdapat juga pelbagai jenis snek, ais krim dan minuman jenama eksklusif Korea Selatan di emart24," katanya.

emart24 adalah jenama kedai serbaneka Korea Selatan yang berkembang pesat dengan lebih 7,000 cawangan di negara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan