EKONOMI > BERITA

KPK akan jelajah negeri beri penerangan isu pematuhan piawaian, hak milik tanah - Johari

01/08/2024 09:42 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengadakan sesi jelajah ke setiap negeri dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berhubung pematuhan piawaian  serta isu berkaitan hak milik tanah.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian itu akan turun ke padang untuk memberikan penerangan kepada pekebun kecil terutamanya berkaitan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Dalam roadshow (jelajah) yang akan kita buat secepat mungkin ini, kita akan turun ke setiap negeri untuk kita explain (jelas) kepada mereka supaya mereka faham implikasinya (pematuhan terhadap piawaian).

“Kita perlu melakukan ini kerana komoditi kita banyak dieksport ke luar negara. Kita hasilkan 18.5 juta tan kelapa sawit tetapi kita gunakan (hanya) 4 juta tan.. jadi kalau produk kita tak boleh eksport sebab kita tidak patuh piawaian kemampanan global, siapa yang akan guna baki 14 tan itu?,” soal beliau. 

Johari berkata beberapa perkara yang perlu dilihat dan ditangani bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri adalah berkenaan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa berhubung aspek kemampanan seperti EUDR, usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar dan Isu buruh paksa serta hak asasi manusia.

Beliau berkata sektor agrikomoditi tidak lekang daripada isu dan cabaran di peringkat domestik mahupun antarabangsa dan ia memberi implikasi kepada negeri-negeri untuk memasarkan hasil komoditi mereka ke pasaran antarabangsa sebagai produk keluaran Malaysia.

Menurutnya, ketidakpatuhan terhadap piawaian serta peraturan ini akan menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di peringkat antarabangsa yang secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan kerajaan negeri yang banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan.

“Kita juga hendak melihat bagaimana  kita boleh bantu kerajaan negeri contohnya nak menyelesaikan isu-isu tanah, kerana ada tanah yang sepatutnya di tanam kelapa sawit, dia (pekebun) punya title (hak milik) itu getah, ataupun koko dan lain lain.

“Jadi nak dapat sijil kemampanan salah satu prasyarat kena ada legitimate title (hak milik sah), mesti apa yang kita tanam kena tulis. Dan, isu tanah di setiap negeri ini berbeza peraturannya.  Perkara teknikal seperti ini sangat penting untuk kita turun ke bawah dan kita di kementerian akan membantu memudahkan mereka untuk patuh terhadap piawaian,” katanya.

Pada 2023, sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM83.16 bilion atau sekitar 5.31 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara.

 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan