EKONOMI > BERITA

iMin Technology Buka Kemudahan Pengeluaran Luar China Pertama Di Johor

02/08/2024 09:09 AM

JOHOR BAHRU, 1 Ogos  (Bernama) -- iMin Technology, penyedia perkakasan dan platform berasaskan Android (POS) yang berpangkalan di Singapura membuka kemudahan pengeluaran pertamanya di luar China di Senai di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hu Aimin berkata pembukaan kemudahan serba canggih itu dikendalikan oleh Neostra Sdn Bhd.

Beliau berkata ia merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan syarikat untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan mengukuhkan rantaian bekalannya bagi memenuhi permintaan global.

“Malaysia menawarkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan, dengan infrastruktur yang mantap, tenaga kerja mahir dan dasar kerajaan yang menyokong.

“Keputusan kami untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran di sini adalah langkah strategik untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hu berkata pengetahuan industri iMin yang mendalam dan keupayaan teknologi termaju akan memudahkan pemindahan maklumat dan kemahiran yang berharga kepada tenaga kerja tempatan dan rakan niaga industri.

“Penyatuan kepakaran global dengan wawasan tempatan akan memacu inovasi dan meningkatkan standard industri, mewujudkan persekitaran kolaboratif yang akan memberi manfaat kepada iMin dan komuniti perniagaan yang lebih luas di Malaysia.

“Kami yakin kehadiran kami di Malaysia bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya.

Majlis pembukaan kemudahan itu dihadiri oleh oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura Vinothan Tulisinathzan dan Pengarah MIDA Johor Mohamad Reduan Mohd Zabri.

Sementara itu, Lee berkata keputusan strategik iMin membuka kemudahan pengeluaran di Johor mencerminkan keyakinan terhadap dasar ekonomi negara yang kukuh, kestabilan politik dan kawal selia perniagaan.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi dan perdagangan yang teguh dan saling menguntungkan, justeru itu, kerjasama ini akan membantu mengekalkan momentum positif sambil mencipta peluang pekerjaan dan memupuk inovasi antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan