EKONOMI > BERITA

Pelabur Asing Beli Ekuiti RM242.1 Juta Di Bursa Malaysia Minggu Lepas

05/08/2024 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia dengan menyalurkan dana berjumlah RM242.1 juta ke dalam ekuiti tempatan minggu lepas, selepas tempoh pengambilan untung pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi laporan aliran dana mingguan pada Isnin, bank pelaburan itu menjelaskan pelabur asing memulakan minggu lepas sebagai penjual bersih apabila menjual ekuiti tempatan bernilai RM17.2 juta.

Bagaimanapun, mereka bertukar menjadi pembeli bersih untuk baki tempoh minggu lepas dengan aliran masuk bersih paling kukuh bernilai RM120.7 juta pada Rabu.

“Tiga sektor teratas yang yang mencatatkan belian bersih daripada pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM417.9 juta), pembinaan (RM128.1 juta) serta telekomunikasi dan media (RM49.8 juta).

“Tiga sektor teratas yang merekodkan jualan bersih oleh pelabur asing pula ialah teknologi (RM118.8 juta), utiliti (RM83.8 juta), serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM71.7 juta)," katanya.

Sementara itu, MIDF Amanah memaklumkan institusi tempatan menjual ekuiti domestik bernilai RM363.1 juta minggu lepas, selepas melakukan belian bersih pada minggu sebelumnya.

Mereka membeli bersih RM35.5 juta pada Isnin dan RM7.3 juta pada Khamis.

Bagaimanapun, mereka ialah penjual bersih untuk hari lain minggu lepas dengan hari jualan bersih paling ketara pada Jumaat iaitu RM199.9 juta.

“Peruncit tempatan membeli bersih RM121.0 juta bagi minggu kedua berturut-turut. Mereka menjual bersih pada Isnin dan Khamis, masing-masing pada RM18.3 juta dan RM17.6 juta,” menurut bank pelaburan itu.

Jumlah dagangan harian purata meningkat sebanyak 20 peratus dalam kalangan pelabur asing, manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan turun masing-masing sebanyak 1.0 peratus dan 4.8 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan