EKONOMI > BERITA

Perniagaan Optimis Terhadap Prospek Malaysia: Kajian UOB

05/08/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan besar di Malaysia dan luar negara optimis mengenai landskap dan prospek perniagaan negara, menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2024.

Kajian tahunan ini mendedahkan Malaysia telah muncul sebagai negara paling penting dalam kalangan syarikat Asean dan Greater China yang ingin mengembangkan perniagaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata kajian itu menunjukkan perniagaan tempatan sedang bersiap sedia untuk tempoh pertumbuhan berikutan keyakinan terhadap potensi ekonomi Malaysia manakala perniagaan luar negara ingin berkembang ke negara ini.

“Ini disebabkan oleh asas ekonomi yang kukuh dan daya tarikan negara sebagai hab perniagaan serantau didorong oleh strategi China+1, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang akan datang.

“Selain itu, ia disumbangkan peningkatan permintaan industri semikonduktor global, dan pertambahan  amalan kemampanan dalam kalangan perniagaan dan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UOB Malaysia kekal komited untuk memanfaatkan rangkaian serantaunya yang luas, kepakaran sektor yang kukuh, dan pengetahuan pasaran tempatan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan selain mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing dan perdagangan ke dalam negara.

Kajian tahunan ini yang kini memasuki tahun kelima telah membuat tinjauan melibatkan lebih 4,000 PKS serta perusahaan besar merentas tujuh pasaran, termasuk lebih 500 perniagaan Malaysia. 

Tinjauan ini dijalankan untuk memahami prospek perniagaan dan jangkaan utama PKS dan perusahaan besar di Malaysia, Hong Kong, Indonesia, China, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Antara hasil dapatan utama tinjauan itu adalah; lebih tujuh daripada 10 perniagaan Malaysia bersikap positif mengenai persekitaran perniagaan semasa, dengan 76 peratus menjangka prestasi perniagaan bertambah baik tahun ini.

Sektor paling positif mengenai persekitaran perniagaan semasa adalah industri, minyak dan gas (90 peratus) serta pembuatan dan kejuruteraan (80 peratus).

Tinjauan itu juga menunjukkan perniagaan tempatan mempunyai tiga tumpuan utama untuk tempoh satu hingga tiga tahun akan datang iaitu mengurangkan kos, mengamalkan penyelesaian digital untuk meningkatkan produktiviti dan berusaha mencari pelanggan baharu.

“Hampir 80 peratus daripada perniagaan Malaysia ingin berkembang ke luar negara untuk meningkatkan keuntungan, menambahkan pendapatan dan membina reputasi sebagai perniagaan antarabangsa,” katanya.

Tinjauan itu juga mendapati perniagaan ingin memasukkan amalan kemampanan dalam operasi untuk menarik pelabur, menjadikannya lebih mudah untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional apabila matlamat kemampanan telah ditetapkan, di samping meningkatkan jenama dan reputasi syarikat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan