EKONOMI > BERITA

PTP Catat Rekod Baharu, Kendali 1.11 Juta TEU Pada Julai

05/08/2024 06:41 PM

JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara MMC Group dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda telah mencipta rekod baharu dengan mengendalikan 1.11 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu bulan tanpa mengalami sebarang kesesakan pada bulan Julai.

PTP dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian itu melepasi rekod sebelumnya iaitu 1.07 juta TEU dicatatkan pada Mei tahun ini.

“Ia bukan sahaja menjadikan PTP pelabuhan pertama di Malaysia mencapai kecemerlangan tetapi juga mengukuhkan status PTP sebagai salah satu hab maritim dan pemunggahan kargo terkemuka di peringkat serantau dan global.

“Keupayaan kami untuk mencapai prestasi terbaik ini tanpa sebarang kesesakan mengukuhkan peranan PTP sebagai penghubung yang sangat diperlukan dalam rantaian bekalan global,” kata Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Hardiman pula berkata pencapaian iperlu diberi perhatian memandangkan prestasi mampan pelabuhan yang mengendalikan lebih satu juta TEU selama tiga bulan berturut-turut sejak Mei tahun ini, pada Jun PTP mengendalikan 1.04 juta TEU.

“Perjalanan PTP ini dipenuhi cabaran tetapi pada masa sama ia juga telah membentuk ketahanan dan keazaman kami.

"Asas kejayaan kami terletak pada tumpuan utama PTP terhadap kakitangan, teknologi dan pemprosesan dengan keselamatan sebagai nilai teras kami serta pelanggan kami di sebalik segala yang kami lakukan," katanya.

Kesesakan pelabuhan yang ketara merentasi benua dan wilayah yang berbeza telah menjadi isu global, mengakibatkan kelewatan dalam penjadualan kapal dan gangguan serius kepada rantaian bekalan global.

Selain itu, ia juga menyebabkan peningkatan kos dan tekanan inflasi yang menjejaskan pengangkut kontena, pelabuhan dan pengguna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan