EKONOMI > BERITA

Lebih 11,000 Delegasi Dijangka Hadiri Persidangan IDA Di Kuala Lumpur

06/08/2024 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Lebih 11,000 delegasi, termasuk 10,000 kalangan profesional dari luar negara dijangka menghadiri persidangan tahunan berprestij International Dragon Award (IDA) yang berlangsung dari 9 hingga 12 Ogos ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec). 

Selepas 11 tahun, IDA akan kembali ke Malaysia buat kali ketiga untuk perhimpunan tahunan ahli yang signifikan dalam industri insurans hayat dan perkhidmatan kewangan China di seluruh dunia.

Penganjuran acara itu seiring dengan Kongres Insurans Hayat China Sedunia ke-15 dan Kongres Insurans Hayat Cina Kebangsaan ke-26, kedua-duanya berlangsung di tempat yang sama.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Lee Tai Hung mengalu-alukan kedatangan semua peserta  dan menggalakkan mereka untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai lokasi acara dan perhimpunan akan datang.

“Kami mempunyai kemudahan yang sangat baik di sini serta boleh menampung semua keperluan anda. Sebagai contoh, pada Jun lepas, kami menganjurkan beberapa kongres penting di negara ini,” katanya semasa sidang media pra pelancaran acara itu di Mitec hari ini.

Sementara itu, dalam satu  kenyataan, persidangan itu akan menampilkan hampir 120 penceramah terkenal, termasuk pensyarah, sarjana, dan pakar daripada institusi insurans kewangan, serta pemimpin kanan daripada organisasi insurans.

"Lebih 80 sesi dan aktiviti akan diadakan sepanjang persidangan empat hari itu," katanya.

Dianjurkan oleh IMM International, acara ini meraikan kecemerlangan dalam industri insurans hayat dan perkhidmatan kewangan, menghimpunkan profesional terkemuka, peneraju industri dan tokoh penting dari seluruh dunia.

"Persidangan itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada inovasi, mempromosikan amalan terbaik dan mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam sektor ini," kata kenyataan itu.

Seramai 10,000 peserta antarabangsa dijangka tiba dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat, Macau, Kanada dan negara-negara lain.

Antara penceramah terkenal termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prudential Hong Kong Ltd Lawrence Lam, CEO Manulife International Ltd Patrick Graham, CEO kumpulan Great Eastern Holdings Ltd Khor Hock Seng dan Pengarah Urusan kumpulan Hong Leong Assurance Malaysia Loh Guat Lan.

“Mereka akan membincangkan topik seperti pengalaman hidup, kerjaya sepanjang hayat dalam insurans, trend kewangan di seluruh dunia, pembangunan bakat, hal ehwal dunia, pembangunan ekonomi, amalan utama dalam operasi insurans, dan cabaran dan trend masa depan.

“Persidangan itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran profesional dan kecekapan pengamal insurans di seluruh dunia dan meningkatkan kesedaran insurans dalam kalangan orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan