EKONOMI > BERITA

ASEAN Di Trajektori Positif Muncul Ekonomi Keempat Terbesar Dunia Menjelang 2030

06/08/2024 09:21 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) – ASEAN berada dalam lingkungan trajektori positif untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 berbanding kelima pada masa ini, susulan persekitaran makroekonomi yang progresif serta signifikan.

Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN Satvinder Singh berkata ini termasuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang melonjak 51 peratus kepada US$3.8 trilion pada tahun lepas berbanding US$2.5 trilion (US$1=RM4.47) pada 2015.

Malah, ini diperkukuhkan lagi oleh faktor perdagangan serantau yang melonjak kepada US$3.5 trilion pada 2023 daripada US$2.3 trilion pada 2015 dan membantu meningkatkan pendapatan per kapita dengan ketara.

Keadaan itu turut mencerminkan komitmen berterusan ASEAN untuk muncul sebagai rantau ekonomi terbuka bagi perdagangan dan pelaburan global yang pesat, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan ‘Wawasan 2045: Era ASEAN’ anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Boston Consulting Group.

“Kita adalah antara beberapa rantau di dunia dengan perdagangan yang hampir sebesar KDNK (dan) komponen terbesar perdagangan bukannya dengan China atau Amerika Syarikat, tetapi intra Asia yang mencecah hampir US$800 trilion.

“Apa yang kita cuba katakan adalah seiring pertumbuhan sebagai komponen terbesar perdagangan, kita juga banyak berkembang dari segi dagangan dengan pelosok lain dunia,” katanya.

Beliau juga menyifatkan aspek itu sebagai keunikan ekonomi atau negara-negara dalam blok ASEAN, tidak sepertimana Kesatuan Eropah (EU) dan Wilayah Perdagangan Bebas Amerika Utara apabila “mereka lebih gemar untuk berdagang sesama sendiri.”

Bagi Kanada, Mexico dan EU, kebanyakan negara-negara berkenaan berdagang di antara satu sama lain dan tidak dengan negara lain.

“Inilah keunikan ASEAN. Kita kukuh di Asia dan pada masa sama, kita juga kukuh di peringkat global dari segi perdagangan barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Satvinder berkata di selatan dunia misalnya, ASEAN juga menjadi penerima terbesar pelaburan langsung asing yang berjumlah kira-kira US$230 bilion pada masa ini.

Beliau juga mengunjurkan rantaian bekalan global syarikat yang mempunyai jejak karbon rendah dan aktiviti bernilai tinggi, lebih cenderung untuk bertapak di negara-negara ASEAN pada tahun-tahun mendatang.

Beberapa sektor yang menyaksikan pertumbuhan ketara termasuk semikonduktor, pertanian, peralatan data serta industri mineral dan logam.

Selain itu, "tarikan lain bagi ASEAN ialah transformasi teknologi dan teknologi sempadan seperti 5G, kecerdasan buatan, internet kebendaan yang akan menghasilkan sejumlah US$8 trilion lagi," katanya.

Atas alasan itu, katanya, ASEAN perlu berusaha gigih untuk mengurangkan kos teknologi di serata negara masing-masing dan memastikan negara serantau mendapat akses kepada peranti dan penyelesaian teknologi.

Di sebalik elemen positif ekonomi ini, Satvinder turut menyuarakan kebimbangan mengenai pekerja muda rantau ini yang dijangka berkurangan manakala pekerja berusia pula bertambah, sekali gus memberi risiko ketidakpadanan kemahiran.

Pada masa sama, negara-negara anggota ASEAN akan turut menyaksikan impak pengautomasian ke atas beberapa jenis pekerjaan.

“Sehubungan itu, usaha melatih semula pekerja muda dalam teknologi dan inovasi melalui hab pengurusan teknologi, platform pendidikan dalam talian untuk sains, teknologi dan inovasi serta meningkatkan kemahiran warga emas, akan dapat memupuk produktiviti selain memacu peningkatan industri strategik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan