EKONOMI > BERITA

MSAM 2024 Mulai 22 Ogos, Tawar Hadiah Cecah RM1 Juta - PNB

07/08/2024 06:15 PM

SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menganjurkan karnival literasi kewangan perdananya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini selama empat hari bermula 22 Ogos ini.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata penganjuran karnival yang diadakan sejak 23 tahun lepas itu adalah sebahagian daripada komitmen kepada pemegang unit untuk pelaburan sosial dalam pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan selain inisiatif perkongsian ilmu.

“MSAM tahun ini bertemakan ‘Kukuhkan Hidup Anda di MSAM’ yang sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat dan merentas generasi.

“Usaha meneruskan inisiatif kami dari tahun sebelumnya dengan elemen pendidikan kewangan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menjadi tumpuan dalam menyuntik inspirasi kepada golongan muda menuntut ilmu dan pendidikan tinggi,” katanya dalam  kenyataan media diedarkan pada Majlis Jalinan Rakan Korporat MSAM di sini, hari ini.

Raja Arshad berkata MSAM edisi kali ini turut mengetengahkan lebih banyak aktiviti menyeronokkan melibatkan pengunjung bagi menarik penyertaan segenap lapisan masyarakat.

Selain aktiviti berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, program unik lain termasuk Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.

Acara kali ini disertai 50 pempamer daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.

MSAM 2024 turut menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai kira-kira RM1 juta, termasuk seunit pangsapuri perkhidmatan dan sebuah kereta BYD Dolphin Standard, katanya.

Maklumat lanjut MSAM 2024 di https://www.pnb.com.my/msam/ selain media sosial rasmi Instagram mingguusahamdigital manakala Facebook menerusi Minggu Saham Amanah Malaysia.

Pada majlis hari ini, PNB mengumumkan barisan rakan korporatnya untuk MSAM 2024 iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), SD Guthrie Berhad, Sime Darby Berhad dan S P Setia Berhad bagi kategori Rakan Premier.

Kategori Rakan Utama merangkumi Sime Darby Property Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan MNRB Holdings Berhad manakala syarikat Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di bawah Kategori Rakan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan