EKONOMI > BERITA

EIB Minat Biayai Projek Infrastruktur Di Malaysia

07/08/2024 06:34 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed & Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Bank Pelaburan Eropah (EIB) berminat untuk membiayai projek infrastruktur di Malaysia, terutamanya yang sejajar dengan peralihan negara kepada ekonomi hijau dan mampan yang disokong oleh kerajaan MADANI.

Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rokas berkata EIB, bank pelaburan EU, bersedia untuk menawarkan gabungan instrumen kewangan termasuk pinjaman, jaminan bank dan geran, terutamanya untuk projek infrastruktur jangka panjang.

Projek ini merangkumi pembangunan rel dan pelabuhan, transformasi hijau dan pengurusan sisa di pelbagai negeri seperti Perak, Sarawak, Pahang dan Pulau Pinang, katanya kepada Bernama hari ini.

“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk syarikat EU dan institusi kewangan antarabangsa seperti EIB,” katanya, yang akan menggalas tugas baharu di Macedonia Utara pada 1 Sept 2024, selepas empat tahun berkhidmat di Malaysia.

Mengimbas kembali Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU di Brussels pada 2022, Rokas menekankan pemimpin Eropah komited terhadap inisiatif Global Gateway, yang menyasarkan untuk melabur 10 bilion euro (kira-kira RM50 bilion) di tujuh negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menjelang 2027.

 

TAWARAN KEWANGAN EIB

 

“Inisiatif Global Gateway termasuklah pinjaman mudah daripada EIB, yang dapat menyediakan pembiayaan, pelaburan kurang berisiko untuk syarikat melalui jaminan dan menawarkan geran tanpa mewujudkan kebergantungan.

“Berdasarkan skala pelaburan ini, rakan kongsi yang dipercayai seperti EIB adalah penting apabila mereka boleh komited untuk pelaburan yang menjangkau sehingga 25 tahun — cadangan unik yang sering tidak dapat ditandingi oleh bank komersial,” katanya.

Beliau berkata sukar untuk syarikat mendapatkan pinjaman konsesi atau mudah daripada bank atau agensi pemberi pinjaman dan institusi kewangan secara jangka panjang, terutamanya untuk projek infrastruktur mega dan EIB dapat mengisi kekurangan itu.

Inisiatif itu berasaskan nilai, telus, mampan dan hijau, memastikan manfaatnya, termasuk penciptaan peluang pekerjaan dan pemilikan kekal di Malaysia, katanya, sambil menambah EIB membiayai sistem metro di New Delhi dan Amerika Latin.

Dimiliki secara bersama oleh 27 negara anggota EU, EIB yang berpangkalan di Luxembourg merupakan satu daripada pembiaya terbesar bagi projek hijau di seluruh dunia dan mempunyai pejabat serantau, termasuk di Jakarta yang memfokuskan kepada aktiviti pembiayaan di Asia Tenggara dan rantau Pasifik.

“Saya telah melawat beberapa negeri di Malaysia dan membincangkan mengenai peluang baharu ini, yang telah menarik minat dengan ketara dan menawarkan potensi yang besar, contohnya, pembangunan pelabuhan di Lumut dan projek bahan api penerbangan mampan seperti hidrogen di Sarawak dan Pulau Pinang,” kata Rokas.

Mengenai pelaburan EU di Malaysia, beliau berkata Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah membentuk kerjasama strategik pada tahun lepas untuk membangunkan pelabuhan Lumut.

Ia adalah projek besar pertama PoABI di Asia Tenggara, katanya, sambil menambah EU menyediakan geran sebanyak 1.9 juta euro (RM9.5 juta) untuk kajian kebolehlaksanaan, mengiktiraf potensi pelabuhan itu sebagai hab logistik dan perindustrian.

 

PENDEKATAN BERASASKAN CADANGAN BAGI PEMBIAYAAN EIB

 

Rokas berkata EIB beroperasi berdasarkan cadangan, dengan negara, kerajaan atau syarikat swasta perlu mengemukakan cadangan projek masing-masing untuk dipertimbangkan.

Merujuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara, yang memerlukan berbilion ringgit, beliau menekankan keperluan untuk rakan kongsi dipercayai seperti EIB yang boleh komited kepada pelaburan jangka panjang.

Selain itu, kerajaan Malaysia mengambil langkah berhati-hati mengenai paras hutang dan memilih untuk tidak menawarkan jaminan, menyebabkan pembiayaan EIB distrukturkan sedemikian supaya tidak meningkatkan keberhutangan negara.

Rokas berkata projek seperti HSR dan sistem antara kebolehkendalian hanya boleh dilaksanakan oleh EU, China dan Jepun, justeru EU boleh memainkan peranan penting berikutan banyak projek lain sedang dijalankan di Malaysia seperti pembesaran lapangan terbang.

Katanya bantuan kewangan EIB tidak mewujudkan kebergantungan, sebaliknya menyokong projek berasaskan nilai, telus dan mampan menerusi pemilikan tempatan.

Menurutnya, EIB hanya meluluskan projek mampan, yang membezakan pendekatan EIB daripada model lain.

“Oleh itu, kami mempunyai cadangan yang amat baik dan berbeza berbanding model China. Melalui kerjasama di peringkat global, EU berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada China,” katanya.

Rokas menekankan Sarawak dan Perak adalah kawasan yang menarik minat pelabur EU manakala projek transformasi hijau di Sarawak seperti pengeluaran hidrogen dan bahan api penerbangan mampan, sejajar dengan inisiatif pelaburan hijau EU dan menawarkan peluang pelaburan yang besar.

“Terdapat banyak peluang pelaburan di Pulau Pinang, Johor dan Selangor, dan kami sedang menunggu cadangan yang komprehensif,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan